PHNOM PENH, 1 Julai - Pelancongan rentas sempadan antara Kemboja dan Thailand merosot susulan pertikaian diplomatik yang berterusan antara kedua-dua negara, walaupun pelancongan domestik di sekitar wilayah Preah Vihear dilapor semakin berkembang maju.
Pergerakan rentas sempadan melibatkan orang ramai dan barangan telah terhenti berikutan penutupan lintasan sempadan antara kedua-dua negara.
Kedua-dua kerajaan terlibat dalam pertikaian susulan insiden pertempuran antara tentera Kemboja dan Thailand pada 28 Mei lepas.
“Sejak konflik itu, pertukaran pelancongan dengan Thailand - sama ada melalui lintasan sempadan atau perjalanan udara - telah merosot dengan ketara, memberi kesan besar kepada kedua-dua pihak.
“Namun, di pihak Kemboja, terdapat peningkatan ketara dalam aktiviti pelancongan apabila ramai rakyat Kemboja mengunjungi kawasan pertikaian seperti Kuil Preah Vihear dan kawasan berdekatan.
“Trend ini turut dilihat di kawasan sempadan lain, apabila komuniti tempatan menyokong anggota tentera di barisan hadapan dan keluarga mereka,” kata Presiden Persatuan Pengembaraan Asia Pasifik (PATA) (Kemboja) Thourn Sinan kepada Bernama.
Pelancongan domestik di kawasan seperti Sra Em di Preah Vihear turut meningkat, dengan rakyat Kemboja mengunjungi kawasan itu untuk menyokong anggota tentera dan penduduk tempatan.
Hotel, rumah tamu dan restoran di kawasan itu kini beroperasi pada kapasiti penuh pada hujung minggu, katanya.
Hubungan diplomatik Thailand-Kemboja menjadi tegang susulan insiden pertempuran singkat antara tentera kedua-dua negara yang ditempatkan berhampiran wilayah Preah Vihear di utara Kemboja pada 28 Mei, yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.
Pertikaian itu bukan sahaja menjejaskan hubungan dua hala, malah turut menjejaskan aktiviti perdagangan di kawasan sempadan. Kedua-dua negara berkongsi sempadan sepanjang 817 kilometer.
Sinan berkata Kemboja berkongsi lebih 10 pusat pemeriksaan rasmi dengan Thailand di sepanjang sempadan, namun hanya lima daripadanya digunakan secara tetap oleh pelancong antarabangsa. Selebihnya digunakan untuk perdagangan dan pergerakan tempatan di sempadan.
Pusat pemeriksaan sempadan Aranyaprathet-Poipet yang sibuk, laluan penting ke Angkor Wat yang terkenal di dunia, turut ditutup.
Ketika ini, hanya pesakit yang mendapatkan rawatan perubatan dan pelajar yang masih dibenarkan menyeberang ke Thailand.
Tiada gangguan terhadap perkhidmatan penerbangan.
“Penerbangan antara kedua-dua negara masih beroperasi, namun perjalanan keluar rakyat Kemboja ke Thailand menjunam kira-kira 95 peratus akibat kebimbangan keselamatan dan sentimen anti-Kemboja yang semakin meningkat di Thailand.
“Kestabilan keseluruhan perjalanan udara masih tidak menentu kerana ia bergantung kepada dinamik politik dalaman Thailand yang kekal tidak stabil,” katanya.
Pertikaian itu melibatkan kawasan yang menempatkan kuil purba Ta Muen Thom, Ta Muen Toch dan Ta Krabey, serta Segi Tiga Zamrud yang bersempadan dengan Kemboja, Thailand dan Laos.
Kemboja enggan mengadakan rundingan dua hala untuk menyelesaikan isu yang berlarutan selama beberapa dekad itu, sebaliknya merujuk pertikaian berkenaan ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada 15 Jun lalu. - BERNAMA