fb fb fb fb fb

Amerika Syarikat mansuh sebahagian besar sekatan ke atas Syria

White House - Reuters

WASHINGTON, 1 Julai - Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menandatangani perintah eksekutif bagi memansuhkan sebahagian besar sekatan yang dikenakan ke atas Syria.

Menurut kenyataan rasmi White House, perintah itu memansuhkan lima arahan terdahulu yang menjadi asas program sekatan ke atas negara tersebut. Namun, sekatan terhadap bekas Presiden Syria, Bashar al-Assad, masih berkuat kuasa. Jabatan Negara Amerika Syarikat turut memberikan pengecualian selama 180 hari bagi sekatan di bawah Akta Caesar.

Perintah baharu berkenaan juga melonggarkan kawalan eksport terhadap barangan tertentu dan membenarkan bantuan asing terpilih disalurkan ke Syria.

Sementara itu, Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat telah mengeluarkan lesen am GL25 yang membenarkan urus niaga melibatkan kerajaan sementara Syria, bank pusat serta syarikat milik kerajaan.

Amerika Syarikat telah meletakkan Syria dalam senarai Penaja Negara Pengganas sejak Disember 1979, dengan beberapa sekatan tambahan diperkenalkan pada Mei 2004 dan Mei 2011 yang menyasarkan sektor utama ekonomi Syria.

Trump sebelum ini mengumumkan hasrat memansuhkan sekatan tersebut ketika berucap pada Forum Pelaburan di Riyadh, Arab Saudi, pada 13 Mei 2025.

Susulan perkembangan tersebut, Presiden Syria, Ahmed al-Sharaa, menegaskan komitmen negara untuk menyediakan kemudahan dan menarik pelaburan dalam usaha mempercepatkan pembinaan semula, khususnya di kawasan yang terjejas teruk akibat perang saudara dan bencana alam. - REUTERS

TUN JULIA MOHD TAHIR