BANGKOK, 1 Julai - Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, digantung tugas berkuat kuasa serta-merta, susulan keputusan Mahkamah Perlembagaan negara itu yang menerima petisyen untuk membatalkan pelantikannya.
Mahkamah dalam kenyataan memaklumkan, petisyen yang dikemukakan oleh 36 senator mendakwa Paetongtarn melanggar etika dan bersikap tidak jujur, selepas berlaku kebocoran rakaman perbualan telefon sensitif bersama bekas pemimpin berpengaruh Kemboja, Hun Sen.
Sepanjang prosiding berlangsung, Timbalan Perdana Menteri Suriya Juangroongruangkit akan mengetuai kerajaan dalam kapasiti pemangku tugas, manakala Paetongtarn akan kekal dalam Kabinet sebagai Menteri Kebudayaan, susulan rombakan baru-baru ini.
Perbualan telefon yang bocor sebelum ini telah mencetuskan kemarahan dalam kalangan rakyat Thailand. Ia menjejaskan kedudukan gabungan pemerintah yang kini berdepan majoriti tipis, selepas sebuah parti utama menarik sokongan dan dijangka membawa usul undi tidak percaya di Parlimen. Beberapa kumpulan protes turut mendesak Paetongtarn untuk meletakkan jawatan.
Sementara itu, dalam sidang media di Bangkok, Paetongtarn menerima keputusan mahkamah dengan terbuka dan memohon maaf kepada rakyat yang terkesan dengan isu tersebut.
“Saya menghormati keputusan mahkamah dan akan menghentikan tugas saya serta-merta. Saya mempunyai masa 15 hari untuk memberikan penjelasan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa niatnya berkaitan perbualan yang tular itu adalah murni dan bertujuan melindungi kedaulatan serta keselamatan negara.
“Saya benar-benar ikhlas dan melakukannya demi keamanan negara. Saya mohon maaf jika kaedah saya tidak disenangi,” tambahnya.
Paetongtarn juga menekankan komitmennya untuk terus berkhidmat sebagai rakyat biasa bagi kebaikan negara, meskipun tidak lagi memegang jawatan Perdana Menteri.
Sementara itu, bapanya yang juga bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra, turut berdepan kes mahkamah dalam masa terdekat. - REUTERS