fb fb fb fb fb

Aleppo bergelut bersihkan sisa runtuhan

Timbunan runtuhan bangunan di Aleppo. - Reuters

ALEPPO, 1 Julai - Selepas 14 tahun dilanda perang saudara dan gempa bumi besar, timbunan runtuhan masih menyesakkan jalan-jalan utama di Aleppo, Syria, sekali gus menghalang usaha pembinaan semula dan mengancam kesihatan awam.

Pengarah Pertahanan Awam Syria di Aleppo, Mohammed al-Rajab, berkata pihaknya menyasarkan untuk membersihkan kira-kira 105,000 meter padu sisa runtuhan, mewakili 40 peratus daripada keseluruhan runtuhan yang masih terdapat di jalan-jalan utama. Proses pembersihan itu dijangka mengambil masa setahun secara berterusan.

“Runtuhan ini bukan sahaja mengganggu kehidupan harian, malah memburukkan lagi pencemaran alam sekitar serta menarik kehadiran tikus dan serangga pembawa penyakit. Tambahan pula, terdapat bahan letupan yang tidak meletup tersembunyi di bawah runtuhan dan boleh meletup pada bila-bila masa, membahayakan penduduk terutamanya kanak-kanak dan wanita,” katanya.

Penduduk Aleppo, Khaled Fadel Ahmed, 50, meluahkan kesengsaraan penduduk yang terpaksa hidup bersama runtuhan selama lima hingga enam tahun, sehingga menjejaskan kesihatan pernafasan, meningkatkan risiko penyakit serta menjadi habitat kepada ular dan kala jengking.

Menurut laporan Perkhidmatan Tindakan Periuk Api Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNMAS) yang diterbitkan Jun lalu, lebih 2,000 bahan letupan yang tidak meletup telah dimusnahkan dalam 1,500 operasi pembersihan di Barat Laut Syria, termasuk Aleppo.

Di sebalik kesukaran, usaha kecil-kecilan sedang dijalankan bagi mengitar semula runtuhan. Sebuah kilang kitar semula di Aleppo kini memproses sisa untuk menghasilkan blok konkrit dan jubin kaki lima yang akan digunakan semula dalam projek pembinaan semula kejiranan.

Pengurus kilang kitar semula, Suhaib Shayaa, berkata projek itu amat penting bagi membuang runtuhan sedia ada dan memanfaatkannya semula. Namun, kapasiti pengeluaran ketika ini masih kecil berbanding jumlah runtuhan yang diterima.

“Kami perlukan lebih banyak mesin dan pelaburan untuk meningkatkan usaha ini,” ujarnya.

Sebelum ini, pada 14 Mei 2025, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan pemansuhan sekatan ke atas Syria. Presiden Syria, Ahmed al-Sharaa, kemudiannya memberi jaminan bahawa negaranya komited menyediakan kemudahan untuk menarik pelaburan dalam usaha membina semula negara itu. - REUTERS

TUN JULIA MOHD TAHIR