fb fb fb fb fb

30 terbunuh, Israel serang kafe di tepi laut Gaza

Foto AFP

GAZA,1 Julai- Sekurang-kurangnya 30 orang dilaporkan terbunuh, manakala puluhan lagi cedera, dalam serangan udara Israel ke atas sebuah kafe di tepi laut, di Gaza.

Kafe Al-Baqa, yang terletak di kawasan barat Gaza merupakan tempat perlindungan bagi penduduk tempatan daripada keadaan berbahaya serta cuaca panas yang melampau.

Saksi melaporkan letupan kuat serta kemusnahan besar di lokasi kejadian, dengan rakaman video menunjukkan kepulan asap tebal serta kerosakan pada struktur kafe dan kawasan sekitarnya.

“Tiba-tiba kami dengar letupan kuat lalu melarikan diri. Kami temui cebisan mayat berselerak di laut. Ini kawasan awam di mana orang datang untuk menenangkan diri, namun mereka tetap menjadi sasaran,” kata Hani al-Durra, salah seorang saksi kejadian.

Menurut saksi lain, Mohammed al-Saidi, kafe berkenaan adalah salah satu daripada beberapa perniagaan yang masih beroperasi dan menjadi satu-satunya tempat yang menyediakan akses internet.

“Orang ramai datang ke pantai untuk bermain, berehat dan menggunakan internet. Namun tempat ini juga tidak terselamat,” katanya.

Sejak Mac lalu, sekurang-kurangnya 6,203 warga Palestin terbunuh dan 21,601 lagi cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza.

Jumlah korban keseluruhan sejak konflik tercetus pada Oktober 2023 kini mencecah 56,531 orang, dengan lebih 133,000 lagi dilaporkan cedera.-REUTERS

ROSLINA BINTI DIN