MEXICO CITY, 27 Jun- Ratusan penduduk berhimpun di pusat bandar Mexico City bagi menyuarakan sokongan terhadap acara tradisional seperti pertarungan laga lembu dan sabung ayam.
Menurut aktivis ia merupakan sebahagian daripada warisan budaya dan tradisi Mexico.
Para penunjuk perasaan berarak di sekitar bandar raya tersebut, mendesak para penggubal undang-undang agar mengekalkan tradisi itu dan tidak mengharamkannya.
Perkara itu susulan keputusan Kongres Mexico City pada Mac lalu yang meluluskan langkah baharu bagi mengurangkan penderaan terhadap lembu dalam acara tersebut.
Antara langkah itu termasuk melarang penggunaan tombak dan pedang oleh matador ke atas lembu, dan menetapkan agar tanduk haiwan itu ditutup bagi mengelakkan kecederaan terhadap manusia.
Seorang matador, Antonio de la Vega berkata, tindakan yang diarahkan itu boleh mengakibatkan kepupusan baka lembu tempur.
"Tanpa pertarungan lembu, baka lembu tempur akan pupus," katanya.
Menurut penganjur tunjuk perasaan, aktiviti tradisional itu menjana ribuan peluang pekerjaan dan menjadi sebahagian penting dalam identiti masyarakat tempatan.
Para penunjuk perasaan turut menggesa Presiden Mexico Claudia Sheinbaum dan Datuk Bandar Mexico City, Clara Brugada, supaya menghentikan sebarang usaha lanjut untuk mengharamkan tradisi tersebut.- REUTERS