fb fb fb fb fb

Piagam PBB semakin dicabar – Guterres

Antonio Guterres/ REUTERS

NEW YORK, 27 Jun- Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres memberi amaran bahawa Piagam Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) kini sedang menghadapi cabaran paling besar dalam sejarah meskipun pemeteraian badan dunia itu memasuki tahun ke-80.

"Kita sedang menyaksikan satu corak yang semakin lazim – patuh apabila piagam menguntungkan, dan mengabaikannya apabila sebaliknya. Piagam PBB bukan sesuatu yang boleh dipilih sesuka hati. Ia merupakan asas kepada hubungan antarabangsa," tegas Guterres dalam ucapannya pada Khamis.

Walaupun negara-negara sering menuduh antara satu sama lain melanggar piagam tersebut, hanya sedikit yang berdepan tindakan tegas.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Perhimpunan Agung PBB telah mengecam Rusia dan Israel kerana didakwa melanggar piagam berikutan tindakan ketenteraan di Ukraine dan Gaza. Namun, kedua-dua konflik masih berlanjutan hingga kini.

Minggu ini, serangan Amerika Syarikat ke atas Iran juga didakwa melanggar piagam berikutan serangan ke atas kemudahan nuklear negara itu.

PBB ditubuhkan selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua, dan piagam itu telah ditandatangani 50 negara pada 26 Jun 1945 di San Francisco, sebelum berkuat kuasa empat bulan kemudian.

Piagam tersebut digubal untuk memastikan generasi masa depan dilindungi daripada peperangan, menjunjung maruah kemanusiaan serta hak sama rata lelaki dan wanita, dan negara besar mahupun kecil.

"Hari ini, kita melihat serangan terhadap tujuan dan prinsip Piagam PBB, ia tidak pernah berlaku sebelum ini. Ancaman dan penggunaan kekerasan terhadap negara berdaulat.

"Pelanggaran undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa yang menyasarkan orang awam dan infrastruktur awam.

"Tindakan ini turut menjejaskan bekalan makanan dan air. Ia sekali gus mengganggu hak asasi manusia," katanya.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI