fb fb fb fb fb

Angkasawan pertama India, Poland dan Hungary tiba di ISS

Krew Axiom Mission 4 tiba di Stesen Angkasa Antarabangsa/ AFP

UTTAR PRADESH, 27 Jun- Buat pertama kali, seorang warga India, Hungary dan Poland tiba di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Berita menggembirakan itu turut diraikan ibu bapa kepada angkasawan India pertama, Shubhanshu Shukla di Uttar Pradesh bersama keluarga.

Misi angkasa itu dilancarkan dari Pusat Angkasa Kennedy NASA di Cape Canaveral, Florida, pada kira-kira pukul 2.30 pagi waktu tempatan, menerusi kerjasama antara syarikat pemula dari Texas, Axiom Space, dan syarikat angkasa lepas milik Elon Musk, SpaceX.

Shukla, 39 merupakan salah seorang daripada empat anggota kru yang dibawa ke angkasa lepas menggunakan kapsul Crew Dragon yang dipasang di atas roket dua peringkat Falcon 9 milik SpaceX.

Selain Shukla, kru turut disertai bekas angkasawan NASA Peggy Whitson; Sławosz Uznański-Wiśniewski, 41, dari Poland; dan Tibor Kapu, 33, dari Hungary.

Mereka dijadualkan berada di ISS selama 14 hari untuk menjalankan penyelidikan berkaitan mikrograviti.

Axiom Space, yang diasaskan sembilan tahun lalu oleh bekas pengurus program ISS NASA, kini merupakan antara beberapa syarikat yang sedang membangunkan stesen angkasa komersial untuk menggantikan ISS, yang dijangka akan ditamatkan operasinya sekitar tahun 2030.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI