GREECE, 27 Jun- Pasukan bomba Greece bertungkus lumus memadamkan kebakaran hutan yang memusnahkan kediaman serta rumah percutian berhampiran bandar pesisir Palaia Fokaia, kira-kira 40 kilometer di selatan Athens, sekali gus memaksa penduduk berpindah.
Negara di selatan Eropah itu kini berdepan cuaca panas melampau yang mengakibatkan kebakaran dan banjir dipercayai berpunca daripada perubahan iklim.
Di kawasan Palaia Fokaia, seramai 130 anggota bomba dikerahkan bersama 12 pesawat dan 12 helikopter untuk memadamkan kebakaran yang semakin marak akibat tiupan angin kencang.
Jurucakap pasukan bomba, Vasilios Vathrakogiannis dalan satu sidang media memaklumkan bahawa seramai 40 individu telah dipindahkan ke kawasan selamat, manakala beberapa bot pengawal pantai turut dihantar ke lokasi untuk membantu sekiranya pemindahan tambahan diperlukan.
Pihak berkuasa memberi amaran bahawa risiko kebakaran hutan dijangka berlaku pada Jumaat sebelum keadaan cuaca kembali normal.
Greece telah membelanjakan ratusan juta euro bagi memberi pampasan kepada isi rumah dan petani yang terjejas akibat cuaca ekstrem serta pembelian peralatan pemadaman kebakaran lebih moden.
Negara itu juga telah meningkatkan jumlah anggota bomba kepada rekod tertinggi iaitu seramai 18,000 orang tahun ini untuk menghadapi situasi itu.- REUTERS