fb fb fb fb fb

Rancangan penguasaan Gaza oleh Israel sebagai "aib" dunia

Malapetaka bersejarah yang mencetuskan kecaman global / Foto AFP

TEHRAN, 10 Ogos - Al-Azhar Al-Sharif, institusi ilmiah Islam terbesar di Mesir, mengecam keputusan Israel untuk mengambil alih Gaza City, dan menyifatkannya sebagai aib yang tidak dapat dipadamkan bagi masyarakat antarabangsa dan institusinya yang gagal bertindak terhadap jenayah sedemikian.

Menurut Agensi Berita Republik Islam Iran (IRNA), Al-Azhar berkata langkah itu mencerminkan dasar angkuh dan ganas yang menghina negara sambil mengabaikan semua undang-undang serta piagam antarabangsa.

Kenyataan itu memberi amaran bahawa cubaan menawan Gaza bertujuan menghapuskan identiti wilayah Palestin dan mengeluarkannya daripada peta.

Institusi itu menggesa negara Arab, masyarakat Islam dan antarabangsa menyelaras usaha serta meningkatkan tekanan bagi menghentikan apa yang digambarkan sebagai malapetaka bersejarah.

Ia menegaskan keperluan tindak balas tegas terhadap percubaan Israel mengubah realiti sambil memberi amaran bahawa tindakan sedemikian mengancam kestabilan seluruh rantau.

Pada Jumaat, kabinet perang Israel meluluskan rancangan untuk menawan bandar Gaza dan memperketat cengkamannya ke atas Semenanjung Gaza, satu langkah yang mencetuskan kecaman global. - BERNAMA

HASRON BIN HASSAN