fb fb fb fb fb

Rancangan agihan bantuan di Gaza, 'helah sinis' Israel

Ketua Bantuan Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Tom Fletcher/ Reuters

NEW YORK, 14 Mei- Ketua Bantuan Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Tom Fletcher mengkritik rancangan agihan bantuan di Gaza yang direka Israel.

Ia disifatkan sebagai satu 'helah sinis', gangguan sengaja dan helah untuk menutup tindakan keganasan serta pemindahan penduduk Palestin secara berterusan.

Sejak 2 Mac lalu, tiada bantuan kemanusiaan berjaya disalurkan ke Gaza.

Laporan pemantauan global mengenai kebuluran memberi amaran bahawa setengah juta penduduk — iaitu suku daripada jumlah penduduk di wilayah itu — kini berdepan kebuluran.

"Tuan Yang Dipertua, respons kami sebagai warga kemanusiaan adalah untuk membuat satu permintaan kepada Majlis. Marilah kita bekerja. PBB dan rakan kongsi kita terdesak untuk menyambung semula bantuan kemanusiaan, secara besar-besaran, di seluruh Gaza, selaras dengan prinsip asas kemanusiaan, kesaksamaan, kemerdekaan dan berkecuali.

"Kami mempunyai rancangan. Kami telah menunjukkan bahawa kami boleh menyampaikan bantuan kepada berpuluh-puluh ribu orang awam di Gaza. Di sempadan pula, kami boleh menyelamatkan ratusan ribu individu yang lain," kata Fletcher.

Minggu lalu, Israel memaklumkan bahawa syarikat swasta akan menguruskan pengagihan bantuan di selatan Gaza.

Menurut Fletcher, PBB telah mengadakan lebih 10 pertemuan dengan pihak berkuasa Israel bagi membincangkan model agihan bantuan tersebut supaya ia boleh dilaksanakan.

Namun PBB meletakkan syarat minimum dalam pengagihan tersebut iaitu dengan penglibatan organisasi itu termasuk menyampaikan bantuan kepada semua yang memerlukan tanpa mengira lokasi mereka di Palestin.

"Kami mempunyai dua mesej jelas untuk Israel. Benarkan bantuan untuk memasuki Gaza supaya membolehkan PBB dan semua anggota kemanusiaan menyelamatkan nyawa.

"Sebarang model untuk mengagihkan bantuan kemanusiaan mestilah bebas, tidak berat sebelah, dan berkecuali, serta selaras dengan undang-undang dan prinsip kemanusiaan antarabangsa.

"Kami tidak boleh menyokong mana-mana model yang meletakkan objektif politik atau ketenteraan atas keperluan rakan kongsi yang bebas, atau yang lain yang melemahkan keupayaan rakan kongsi awam, atau yang lain," katanya.

Menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza, perang yang tercetus pada 7 Oktober 2023 itu merekodkan seramai 52,700 penduduk Palestin terbunuh selain meranapkan bangunan dan tempat tinggal.- Reuters

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI