fb fb fb fb fb

Kerajaan UK dibicarakan di Mahkamah Tinggi berhubung eksport senjata ke Israel

Pertubuhan hak asasi manusia mahu kerajaan UK menggantung segera semua eksport senjata ke Israel, termasuk komponen pesawat pejuang F-35.

LONDON, 14 Mei - Mahkamah Keadilan Diraja di London pada Selasa mula mendengar kes mencabar tindakan Kerajaan United Kingdom (UK) yang terus membekalkan senjata ke Israel, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Perbicaraan selama empat hari itu difailkan oleh Global Legal Action Network (GLAN) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Palestin, Al-Haq, yang membawa Kerajaan UK ke Mahkamah Tinggi berhubung eksport senjata ke Israel “walaupun terdapat pelanggaran berterusan terhadap undang-undang antarabangsa dan peraturan UK yang menuntut penggantungan segera semua lesen eksport.”

Kes itu turut disokong beberapa pertubuhan hak asasi manusia termasuk Amnesty International, Human Rights Watch dan Oxfam, yang mahu Kerajaan UK menggantung segera semua eksport senjata ke Israel, termasuk komponen pesawat pejuang F-35.

Pada 2 Sept tahun lepas, Kerajaan British mengumumkan penggantungan 30 daripada 350 lesen eksport senjata ke Israel selepas satu semakan, dengan memberi amaran bahawa terdapat risiko jelas sesetengah eksport senjata UK ke Israel boleh digunakan untuk melakukan atau memudahkan pelanggaran serius terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Lesen yang digantung itu melibatkan komponen untuk pesawat tentera, helikopter, dron dan kelengkapan yang membantu penyasaran serangan di darat, tidak termasuk komponen UK bagi program jet pejuang F-35.

Bagaimanapun, ramai pihak termasuk kumpulan hak asasi dan ahli politik mengkritik langkah itu sebagai tidak mencukupi memandangkan jumlah keseluruhan 350 lesen penggunaan ketenteraan dan dwi-guna yang telah diberikan kepada Israel.

Hujahan kes itu turut menyatakan bahawa UK mampu dan wajib menjejaki serta menghentikan penghantaran komponen F-35 buatan British ke Israel, dan kerajaan mesti memastikan undang-undang domestik dipatuhi. - BERNAMA-ANADOLU

GRACE AISYAH KEDAYAN