fb fb fb fb fb

Rampasan kuasa Niger beri kesan buruk kepada Afrika Barat, seluruh dunia

(Keadaan jalan di Niamey pada 27 Julai 2023 selepas
Presiden Niger, Mohamed Bazoum ditahan oleh tentera elit yang
mengisytiharkan telah mengambil alih kuasa di negara Afrika Barat itu/Foto AFP)

WASHINGTON, 4 Ogos- Presiden Niger, Mohamed Bazoum pada Khamis menegaskan, sekiranya rampasan kuasa menggulingkannya berjaya, ia akan memberi kesan buruk kepada negara itu, rantau berkenaan dan seluruh dunia.

Dalam tulisannya di The Washington Post, beliau menggesa kerajaan Amerika Syarikat dan seluruh masyarakat antarabangsa untuk membantu mengembalikan perintah perlembagaan di Niger.

Rayuan itu merupakan kenyataan panjang pertama Bazoum sejak pengawal presiden menahannya pada 26 Julai dan mengawal kerajaan.

"Saya menulis ini sebagai tebusan. Niger diserang oleh junta tentera dan saya hanyalah salah seorang daripada ratusan rakyat yang telah dipenjarakan secara sewenang-wenangnya dan secara haram.

"Rampasan kuasa ini mesti ditamatkan dan junta mesti membebaskan semua orang yang mereka tangkap secara tidak sah," tulisnya.

(Presiden Niger, Mohamed Bazoum/Foto fail AFP)

Bazoum, yang berkuasa selepas pilihan raya demokratik pada 2021, berkata negaranya telah menjadi benteng harapan di rantau yang semakin dilanda ekstremisme dan diperintah oleh junta tentera.

"Di wilayah Sahel yang bermasalah di Afrika, Niger berdiri sebagai benteng terakhir menghormati hak asasi manusia di tengah-tengah gerakan autoritarian yang telah mengatasi beberapa jiran kita," tulis beliau.

Bazoum turut memberi amaran bahawa jiran Niger semakin banyak mengundang "penjenayah upahan Rusia seperti Kumpulan Wagner dengan mengorbankan hak dan maruah rakyat mereka."

"Seluruh wilayah Sahel, boleh jatuh ke dalam pengaruh Rusia melalui Kumpulan Wagner, yang keganasan kejam telah dipamerkan sepenuhnya di Ukraine," katanya.

Tambah beliau, pergerakan pengganas seperti Boko Haram, pasti akan mengambil kesempatan daripada ketidakstabilan Niger.

Sekali gus, menggunakan Niger sebagai medan untuk menyerang negara jiran dan menjejaskan keamanan, keselamatan dan kebebasan di seluruh dunia.-AFP

Media Baharu