MEXICO, 19 Oktober- Rakyat Venezuela bersama ratusan pendatang membantah dasar baharu yang menghalang mereka merentas ke Amerika Syarikat (AS) melalui jalan darat.
Bantahan dilakukan di sekitar Sungai Bravo yang terletak bersebelahan dengan sempadan AS.
Terdapat kanak-kanak perempuan yang memegang papan tanda 'saya menyeberangi hutan dan mereka tidak membenarkan saya berjumpa ayah'.
Ia merujuk kepada usaha mereka yang sering menjadikan laluan antara Colombia dan Panama untuk merentas ke AS, namun terhalang sejak dasar baharu diperkenalkan.
Seorang wanita yang mengambil bahagian dalam protes itu, Yamilet Miranda, memberitahu Reuters, suaminya tinggal di AS.
Dia dan dua anak perempuannya ditahan selama tiga hari oleh pihak berkuasa AS sebelum dihantar pulang ke Mexico.
(Yamilet Miranda memujuk dua anaknya yang menangis untuk bertemu bapa mereka
ketika cubaan merentas ke AS / Foto REUTERS)
Pihak berkuasa AS dan Mexico baru-baru ini mengumumkan dasar baharu yang akan mengusir rakyat Venezuela yang memasuki sempadan darat AS kembali ke Mexico.
Dasar baharu itu mengakibatkan beribu-ribu rakyat Venezuela yang dipercayai dalam perjalanan ke AS kini terkandas di antara kedua-dua negara dalam tempoh setahun apabila mereka tiba di sempadan.
Ketua Misi Mexico untuk Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM), Dana Graber Ladek berkata, lebih 3,000 rakyat Venezuela telah dihantar semula ke Mexico sejak dasar itu dimulakan minggu lalu.
IOM merancang untuk bekerjasama dengan kerajaan tempatan bagi meningkatkan perlindungan di Ciudad Juarez dan Tijuana, bandar sempadan yang sudah bergelut dengan jumlah pendatang yang tinggi dari pelbagai negara.-REUTERS