TUNIS, 3 Mac- Beribu-ribu rakyat Tunisia melakukan bantahan di sini kerana krisis ekonomi dan taraf hidup yang semakin merosot di negara tersebut.
Konfederasi Kesatuan Sekerja Tunisia turut menyertai bantahan itu yang diadakan semalam.
“Keadaan ekonomi dan sosial terus bertambah buruk,” kata ketua konfederasi, Noureddine Taboubi, dalam ucapan kepada penunjuk perasaan.
Ujarnya, hutang asing yang perlu dibayar Tunisia pada 2023 telah menyusahkan rakyat dan mengakibatkan kekurangan produk asas.
Taboubi juga mengkritik pelaksanaan diktat daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang 'mengorbankan' rakyat Tunisia.
Menghadapi krisis ekonomi yang teruk, Tunisia telah menandatangani perjanjian dengan IMF pada Oktober 2022 untuk pinjaman sebanyak AS$2 bilion.
Namun, pinjaman terhenti apabila Presiden Kais Saied menolak pembaharuan yang dituntut oleh IMF.
Ekonomi Tunisia terhenti dengan pertumbuhan 0.4 peratus dan kadar pengangguran 16.4 peratus pada 2023, menurut Institut Perangkaan Negara. -AFP