LONDON, 15 Jun - Raja Charles III memakai lilitan lengan hitam pada lengan sebagai tanda penghormatan kepada mangsa nahas pesawat Air India semasa acara 'Trooping the Colour' sempena sambutan hari lahir rasmi baginda pada Sabtu.
Acara penuh adat ketenteraan itu turut disesuaikan atas permintaan baginda bagi mengenang tragedi yang mengorbankan 241 penumpang dan anak kapal.
Lebih 50 daripadanya merupakan warga Britain.
Sesi bertafakur selama seminit diadakan selepas Raja Charles memeriksa perbarisan kawalan kehormat.
Baginda meminta sesi berkenaan berlangsung sebagai tanda penghormatan kepada nyawa yang terkorban, keluarga yang berkabung dan semua masyarakat yang terjejas susulan tragedi yang mengerikan tersebut," menurut jurucakap Istana Buckingham.
Boeing 787-8 Dreamliner menuju ke London terhempas sejurus selepas berlepas dari Ahmedabad, India, pada Khamis, mengorbankan sekurang-kurangnya 270 orang sekaligus merekodkan tragedi penerbangan terburuk dalam tempoh satu dekad.
Hanya seorang daripada 242 penumpang dan anak kapal terselamat, manakala kira-kira 30 individu di darat terbunuh ketika pesawat itu terhempas di asrama sebuah kolej perubatan.