ISTANBUL, 14 Jun- Serangan Israel ke atas loji nuklear Fordow, berhampiran bandar Qom, Iran hanya menyebabkan kerosakan kecil dan tidak mengakibatkan sebarang pencemaran radioaktif.
Perkara itu dimaklumkan jurucakap Pertubuhan Tenaga Atom Iran, Behrouz Kamalvandi.
"Tiada kerosakan ketara di kawasan sasaran di Fordow. Kami telah menjangkakan senario sedemikian dan telah memindahkan sejumlah besar peralatan dan bahan ke luar tapak.
"Tiada kerosakan berskala besar, dan sama sekali tidak ada kebimbangan mengenai pencemaran radioaktif," katanya.
Beliau turut mengesahkan, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku di loji berkenaan.
Semalam, Israel menyerang Iran dengan menyasarkan loji nuklear dan peluru berpandu negara itu.
Serangan itu mengakibatkan lebih 100 orang terbunuh, termasuk komander tentera dan saintis, serta mencederakan hampir 380 yang lain. -BERNAMA