NEW DELHI, 15 Jun - Menteri Penerbangan Awam Persekutuan India, Ram Mohan Naidu Kinjarapu pada Sabtu mengumumkan penubuhan satu lagi jawatankuasa peringkat tinggi bagi menyiasat nahas pesawat yang mengorbankan ratusan nyawa di negeri Gujarat, barat India.
Jawatankuasa itu akan dipengerusikan Setiausaha Dalam Negeri dan dikehendaki mengemukakan laporan dalam tempoh tiga bulan.
“Bagi memperhalusi siasatan dan meneliti semua teori serta maklumat yang tular berhubung insiden ini, kami merasakan adalah lebih baik untuk menubuhkan satu lagi jawatankuasa bagi menyiasat punca nahas serta aspek keselamatan. Jawatankuasa ini turut dianggotai pakar dari pelbagai sektor,” katanya.
Antara anggota jawatankuasa lain ialah Setiausaha Kementerian Penerbangan Awam, Setiausaha Tambahan Kementerian Dalam Negeri, wakil kerajaan negeri Gujarat, wakil pihak berkuasa tindak balas bencana negeri, Pesuruhjaya Polis Ahmedabad, Ketua Pengarah Pemeriksaan dan Keselamatan Tentera Udara India, Ketua Pengarah Biro Keselamatan Penerbangan Awam, Ketua Pengarah Pengawal Selia Penerbangan (DGCA), Pengarah Biro Perisikan serta Pengarah Perkhidmatan Sains Forensik.
“Kami tetapkan tempoh tiga bulan untuk mereka berbincang dengan pelbagai pihak berkepentingan dan mengemukakan laporan,” katanya.
Sementara itu, Biro Siasatan Nahas Pesawat (AAIB) kerajaan India memulakan siasatan teknikal ke atas nahas berkenaan.
“Satu kemas kini penting daripada siasatan teknikal oleh AAIB adalah penemuan kotak hitam kira-kira 5 petang (waktu tempatan). Pasukan AAIB percaya kotak hitam ini akan memberikan gambaran mendalam tentang apa yang berlaku sejurus sebelum nahas,” kata Kinjarapu.
Beliau turut mendedahkan yang pemeriksaan keselamatan secara menyeluruh terhadap pesawat Boeing 787 di India sedang dijalankan.
“Apabila insiden berlaku, kami merasakan perlunya pengawasan lanjut terhadap siri Boeing 787. DGCA mengeluarkan arahan pemeriksaan rapi. Terdapat 34 pesawat jenis ini dalam penerbangan India, lapan daripadanya diperiksa setakat ini dan semua akan diperiksa segera,” tambahnya.
Sebelum sidang media menteri, Setiausaha Kementerian Penerbangan Awam, Samir Kumar Sinha, menjelaskan yang pesawat malang itu berlepas ke London pada Khamis 1.39 tengah hari (waktu tempatan) dan terhempas kira-kira 2 kilometer dari lapangan terbang.
Beliau mengesahkan juruterbang menghantar isyarat kecemasan (Mayday) kepada menara kawalan (ATC), namun apabila ATC menghubungi semula tiada sambutan diterima selepas itu.
“Pada 12 Jun, kira-kira 2 petang, kami menerima maklumat yang pesawat dari Ahmedabad ke Gatwick, London terhempas. Ini adalah penerbangan AIC 171 dengan 242 orang di dalamnya, 230 penumpang, dua juruterbang dan 10 kru kabin. Pesawat itu terhempas selepas beberapa saat berlepas, pada ketinggian sekitar 650 kaki. Juruterbang menghantar isyarat kecemasan pada 1.39 petang dan selepas itu ATC tidak menerima sebarang maklum balas,” kata Sinha.
Pesawat itu terhempas di kawasan Kolej Perubatan B J di Meghaninagar, Ahmedabad, kira-kira 17 kilometer dari ibu negeri Gujarat, Gandhinagar.
Ia membawa 169 warganegara India, 53 warga Britain, tujuh rakyat Portugal dan seorang warga Kanada.
Semua penumpang dan kru dilaporkan maut kecuali seorang, menjadikan tragedi ini antara yang paling buruk dalam sejarah penerbangan India.
Rakaman video menunjukkan pesawat itu terbang rendah dan gagal menaikkan ketinggian sebelum meletup dalam bola api besar.
Komponen pesawat bertaburan di kawasan itu dan operasi pembersihan sedang giat dijalankan.
Bilangan mangsa yang maut masih belum disahkan oleh pihak berkuasa, namun media tempatan melaporkan angka korban keseluruhan adalah 274 orang.- BERNAMA