LONDON, 8 Mei- Raja Charles III hari ini mengetuai istiadat khas di Westminster Abbey, London, bagi memperingati 80 tahun berakhirnya Perang Dunia Kedua, disertai oleh veteran perang serta anggota kanan keluarga diraja.
Ketibaan Baginda diiringi putera sulungnya, Putera William, yang turut bersama-sama menitipkan kalungan bunga di makam tomb of the unknown warrior, sebagai tanda penghormatan kepada pejuang yang gugur.
Istiadat penuh makna itu turut menyaksikan penyalaan lilin keamanan oleh Alexander, cicit kepada bekas Perdana Menteri Britain semasa perang, Winston Churchill. Kanak-kanak berusia 10 tahun itu menyatakan rasa bangganya kerana dapat mewakili keluarganya serta generasi muda untuk mengenang jasa para perajurit.
"Rasa luar biasa dapat mewakili keluarga saya dan generasi muda dalam mengingati semua yang terlibat dalam Perang Dunia Kedua," kata Alexander Churchill.
Tahun ini, suasana peringatan dirasai lebih menyentuh perasaan memandangkan jumlah veteran yang masih hidup kian berkurangan disebabkan faktor usia.
Raja Charles, yang kini sedang menjalani rawatan bagi penyakit kanser yang tidak didedahkan, diiringi oleh Permaisuri Camilla serta Puteri Wales, Catherine, selain kehadiran tokoh-tokoh utama keluarga diraja yang lain.
Turut hadir ialah Perdana Menteri Britain, Keir Starmer serta barisan pemimpin politik dan kenamaan.
Pada 8 Mei 1945, suasana di pusat bandar London penuh sesak dengan orang ramai yang turun ke jalanan meraikan tamatnya perang. Dalam perutusan radio khas, Winston Churchill mengisytiharkan hari tersebut sebagai "Hari Kemenangan di Eropah (Victory in Europe Day)" dan menyeru rakyat untuk meraikan kejayaan itu secara sederhana.
Antara yang menyertai sambutan rakyat ketika itu ialah mendiang Ratu Elizabeth II, yang ketika itu berusia 19 tahun, bersama adiknya Puteri Margaret, yang keluar secara incognito dari Istana Buckingham demi merasai detik bersejarah itu bersama rakyat jelata.
Menurut pakar monarki dari University College London, Profesor Robert Hazell, sambutan tahun ini dijangka menjadi upacara besar terakhir yang masih disertai oleh individu yang pernah berkhidmat semasa Perang Dunia Kedua.
Empat hari sambutan bermula Isnin lalu dijadualkan berakhir malam ini dengan sebuah konsert khas di Horse Guards Parade, London, dengan kebenaran operasi pub dilanjutkan dua jam dari kebiasaan.-AFP