fb fb fb fb fb

Bekas Presiden Yoon hadiri perbicaraan jenayah melalui kawasan parkir di luar bangunan

Bekas Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol / REUTERS

SEOUL, 8 Mei- Mahkamah Tinggi Seoul pada Khamis memaklumkan bahawa bekas Presiden Yoon Suk Yeol perlu menghadiri perbicaraan ketiga kes jenayah terhadapnya minggu depan melalui kawasan parkir di luar bangunan, dan bukan lagi menggunakan kawasan parkir bawah tanah seperti sebelum ini, lapor Agensi Berita Yonhap.

Sebelum ini, Yoon dibenarkan masuk ke Mahkamah Daerah Pusat Seoul bagi perbicaraan lalu pada April melalui parkir bawah tanah atas permintaannya kerana faktor keselamatan.

Yoon turut dilihat duduk di kerusi tertuduh semasa perbicaraan kedua kes berkenaan.

Sesi ketiga perbicaraan dijadualkan Isnin ini berhubung pengisytiharan undang-undang tentera yang dilaksanakan secara singkat pada Disember lalu.

Yoon telah disingkirkan secara rasmi daripada jawatan pada awal April selepas Mahkamah Perlembagaan mengesahkan pemecatannya.

Sementara itu, mahkamah memaklumkan bahawa semua kenderaan, kecuali kenderaan rasmi yang ditetapkan untuk tugas tertentu, tidak dibenarkan memasuki kawasan pada hari perbicaraan, bermula jam 8 malam Jumaat hingga tengah malam Isnin.

Kakitangan turut dinasihatkan untuk menggunakan pengangkutan awam dan mengelak daripada membawa kenderaan persendirian pada hari berkenaan.- BERNAMA-YONHAP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE