KRUGER, 8 Mei- Lebih 120 ekor burung hering yang terancam pupus ditemui mati selepas memakan bangkai gajah yang diracun oleh pemburu haram di Taman Negara Kruger, Afrika Selatan.
Insiden berkenaan merupakan antara kejadian keracunan hidupan liar terbesar pernah direkodkan di rantau tersebut.
Menurut kenyataan bersama pihak pengurusan taman dan Endangered Wildlife Trust (EWT), sejumlah 123 burung hering, termasuk spesies White-backed, Cape, dan Lappet-faced Vulture, yang kesemuanya disenaraikan sebagai terancam atau kritikal, mati di lokasi kejadian.
Sebanyak 84 ekor lagi berjaya diselamatkan dan sedang menerima rawatan serta pemantauan rapi.
Pemburu haram dipercayai telah meracun bangkai gajah menggunakan racun perosak pertanian yang sangat toksik.
Kaedah tersebut semakin kerap digunakan untuk memburu spesies seperti burung hering dan singa, yang mana anggota badannya mendapat permintaan tinggi dalam perubatan tradisional.
Kejadian itu berlaku semasa musim pembiakan burung bangkai, menimbulkan kebimbangan terhadap kesan jangka panjang terhadap populasi mereka.
Burung hering memainkan peranan penting dalam ekosistem dengan memakan bangkai haiwan, membantu mencegah penyebaran penyakit.
Pihak berkuasa taman dan organisasi pemuliharaan menyeru tindakan segera untuk menangani penggunaan racun dalam aktiviti pemburuan haram, yang kini menjadi ancaman utama kepada spesies burung bangkai di Afrika.-AFP