MANAMA, 5 September - Sejumlah banduan, termasuk mereka yang ditahan kerana menentang kerajaan dari tahun 2011 mendapat pengampunan diraja dan dibebaskan dari penjara di Bahrain pada Selasa.
Perkongsian video di media sosial memaparkan perjumpaan keluarga yang penuh linangan air mata kegembiraan, ketika kumpulan wanita berpakaian hitam menanti untuk mendapatkan anak-anak dan suami mereka yang dibebaskan di luar perkarangan penjara Jau.
Raja Bahrain, Sheikh Hamad bin Isa al-Khalifa mengurniakan pengampunan diraja kepada 457 banduan sebagai usaha memupuk kekuatan sosial dan sempena dengan sambutan ulang tahun pemerintahannya ke-25, lapor Agensi Berita Bahrain.
Tindakan itu menyusul lima bulan selepas langkah pengampunan kepada lebih 1,500 banduan, iaitu yang teramai dalam tempoh beberapa tahun, ketika negara Teluk itu berusaha untuk meredakan ketegangan yang berlarutan sejak protes prodemokrasi 'Arab Spring'.
Sementara itu, Pengarah Advokasi Institut bagi Hak dan Demokrasi Bahrain (BIRD) Sayed Alwadaei berkata kira-kira 100 banduan telah dibebaskan setakat ini menerusi dekri pengampunan diraja itu yang dilihat sebagai langkah ke hadapan yang penting.
Antara mereka yang dibebaskan ialah Ali Sanqoor, individu yang ditahan lebih sedekad lalu kerana menentang kerajaan, katanya.