fb fb fb fb fb

Ragui gencatan senjata Gaza, Trump tegaskan sokongan terhadap Israel

WASHINGTON, 21 Januari- Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menyatakan keraguan terhadap keberkesanan perjanjian gencatan senjata di Gaza, walaupun beliau berperanan dalam usaha diplomasi untuk mencapai perjanjian itu sebelum perasmian jawatannya.

Ketika ditanya wartawan di White House sama ada kedua-dua pihak akan mengekalkan gencatan senjata dan melanjutkan perjanjian, Trump menjawab, "Saya tidak yakin."

"Itu bukan peperangan kita; itu peperangan mereka. Tapi saya tidak yakin," katanya.

Namun begitu, Trump percaya bahawa Hamas telah 'dilemahkan' sepanjang peperangan yang bermula sejak Oktober 2023.

"Saya melihat gambar Gaza. Gaza seperti tapak runtuhan besar," katanya.

Trump juga menyatakan pandangannya bahawa Gaza mempunyai potensi untuk dibangunkan semula secara besar-besaran jika rancangan itu dilaksanakan.

"Ia lokasi yang fenomenal di tepi laut, cuaca terbaik. Semuanya baik. Perkara yang indah boleh dilakukan di situ," ujarnya.

Israel dan Hamas pada Ahad mula melaksanakan perjanjian gencatan senjata yang melibatkan pertukaran tebusan dan tahanan.

Rancangan itu pada asalnya digariskan oleh bekas Presiden Joe Biden pada Mei dan dilaksanakan menerusi usaha diplomasi antara utusan Biden dan Trump.

Trump, walaupun menyokong perjanjian itu, menegaskan komitmen teguhnya untuk menyokong Israel.

Dalam salah satu tindakan awalnya sebagai presiden, beliau membatalkan sekatan terhadap peneroka ekstremis Israel di Tebing Barat yang dikenakan oleh pentadbiran Biden susulan serangan terhadap rakyat Palestin.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE