WASHINGTON, 21 Januari- Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, memecat empat pegawai kanan kerajaan yang dilantik oleh Biden pada awal pagi Selasa dan memberi amaran bahawa lebih 1,000 lagi bakal menghadapi tindakan pemecatan dalam masa terdekat.
Trump membuat pengumuman tersebut melalui hantaran pertama di platform Truth Social selepas beliau mengangkat sumpah.
"Pejabat Presiden saya kini sedang mengenal pasti dan memecat lebih 1,000 lantikan presiden daripada pentadbiran terdahulu yang tidak selari dengan visi kita untuk 'Menjadikan Amerika Hebat Semula' (Make America Great Again)," kata Trump dalam hantaran tersebut.
Beliau menamakan empat individu yang telah dipecat serta-merta iaitu Jose Andres dari Majlis Presiden untuk Sukan, Kecergasan dan Pemakanan; Mark Milley dari Majlis Penasihat Infrastruktur Nasional; Brian Hook dari Pusat Sarjana Wilson; dan Keisha Lance Bottoms dari Majlis Eksport Presiden.
"Anggap ini sebagai Notis Pemecatan Rasmi untuk empat individu ini, dengan banyak lagi akan menyusul," menurut hantaran itu, yang diakhiri dengan ungkapan "YOU’RE FIRED!", frasa terkenal Trump ketika menjadi hos rancangan TV popular, The Apprentice.
Pelbagai institusi kerajaan Amerika kini bersiap sedia menghadapi perubahan besar jika Trump merealisasikan janji kempennya untuk mengecilkan perkhidmatan awam dan meningkatkan kecekapan, termasuk ancaman untuk menutup beberapa jabatan kerajaan sepenuhnya.-AFP