DOHA, 18 September - Qatar mengadakan pertemuan dengan Presiden Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), Hakim Tomoko Akane di The Hague, sebagai langkah mendesak tindakan undang-undang terhadap Israel, susulan serangan udara ke atas wilayahnya minggu lalu.
Pertemuan itu diketuai oleh ketua perunding Qatar, Mohammed al-Khulaifi, yang memaklumkan negara itu akan menggunakan segala saluran undang-undang dan diplomatik bagi memastikan keadilan ditegakkan.
Serangan menyasarkan pemimpin Hamas yang berpusat di Doha dan telah mengorbankan lima ahli kumpulan itu serta seorang pegawai keselamatan Qatar.
Meskipun pemimpin tertinggi Hamas terselamat, serangan tidak sah oleh Israel itu telah mengejutkan dunia Arab dan mencetuskan kebimbangan besar dalam kalangan negara-negara Teluk.
Dalam satu kenyataan di platform X, Khulaifi menjelaskan bahawa lawatannya ke ICC adalah sebahagian daripada misi pasukan undang-undang Qatar bagi mengumpul bukti dan mengkaji tindakan perundangan terhadap negara Zionis itu.
Sebagai negara pemerhati di ICC, Qatar tidak boleh secara langsung merujuk kes kepada mahkamah tersebut.
Namun, ia telah mendapat sokongan daripada negara-negara Arab dan Islam yang menyeru agar tindakan undang-undang segera diambil untuk menghentikan tindakan Israel yang didakwa melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa.