SEOUL, 3 Mei - Agensi perisikan Korea Selatan berkata Pyongyang sedang merancang serangan yang menyasarkan pegawai dan rakyat Seoul di luar negara, dengan kementerian luar meningkatkan tahap berjaga-jaga untuk misi diplomatik di lima negara.
Menurut agensi tersebut, pihaknya telah mengesan banyak petanda bahawa Korea Utara sedang bersiap sedia untuk melakukan serangan pengganas terhadap kakitangan atau warga kedutaan di pelbagai negara antaranya di China, Asia Tenggara dan Asia Barat.
"Korea Utara telah menghantar ejen ke negara-negara ini untuk meluaskan pengawasan kedutaan Korea Selatan dan juga terlibat dalam aktiviti tertentu seperti mencari warga Korea Selatan sebagai sasaran pengganas yang berpotensi," kata agensi itu dalam satu kenyataan.
Agensi itu turut mendedahkan, amaran tersebut dikaitkan dengan gelombang pembelotan oleh warga elit Korea Utara yang terperangkap di luar negara semasa wabak COVID-19.
Sebelum ini Pyongyang disyaki bertanggungjawab dalam kes pembunuhan seorang konsul Korea Selatan di Vladivostok pada 1996, yang diserang dan dibunuh oleh penyerang tidak dikenali.-AFP