fb fb fb fb fb

Pyongyang guna pelancar roket berbilang baharu tahun ini- KCNA

FOTO AFP

SEOUL, 11 Mei- Korea Utara akan melengkapkan aset tenteranya dengan pelancar roket berbilang 240mm baharu mulai tahun ini.

Agensi Berita Pusat Korea rasmi Pyongyang memberitahu, ia adalah sebahagian daripada pembaharuan untuk keupayaan tempur artileri tentera yang sedang dijalankan.

Kim Jong Un pada hari Jumaat menyelia ujian pelancaran sistem roket yang dikemas kini secara teknikal.

Pengumuman itu dibuat ketika penganalisis berkata Korea Utara mungkin menguji dan meningkatkan pengeluaran meriam dan peluru berpandunya sebelum menghantarnya ke Rusia.

Pyongyang pada Februari berkata ia telah membangunkan sistem kawalan baharu untuk pelancar roket berbilang 240 mmnya yang akan membawa kepada perubahan kualitatif dalam keupayaan pertahanannya, dan bulan lepas melaksanakan ujian tembakan peluru baharu.

Pelancar roket yang dikemas kini akan "dikerahkan ke unit Tentera Rakyat Korea sebagai peralatan gantian dari 2024 hingga 2026", kata KCNA pada Sabtu.

Menurut Pyongyang, lapan peluru telah mengenai sasaran membuktikan kelebihan dan kuasa pemusnah sistem pelancar roket berbilang 240mm yang telah diperbaharui.

Imej yang dikeluarkan oleh media kerajaan menunjukkan Kim bercakap dengan pegawai tentera semasa pemeriksaan pelancar, serta apa yang kelihatan sebagai ujian tembakan sistem berkenaan.

Negara itu, baru-baru ini memperkukuh hubungan ketenteraan dengan Rusia, dan Pyongyang mengucapkan terima kasih kepada Moscow bulan lalu kerana menggunakan kuasa veto Majlis Keselamatan PBB untuk menyekat pembaharuan panel pakar PBB yang memantau sekatan senjata antarabangsa ke atas rejim Kim.

Korea Selatan dan Amerika Syarikat telah menuduh Korea Utara membekalkan senjata kepada Rusia, walaupun sekatan PBB melarang tindakan itu.

KCNA berkata pada Sabtu bahawa Kim membincangkan cara untuk meningkatkan pengeluaran sistem pelancar roket baharu dan peluru ke 'tahap tertinggi.

Ia juga berkata "perubahan ketara akan dibuat tidak lama lagi dalam meningkatkan keupayaan tempur artileri tentera kita", tanpa memberikan butiran.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE