TIANJIN, China, 31 Ogos – Presiden Rusia, Vladimir Putin tiba di Tianjin hari ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) yang dianjurkan oleh Presiden China, Xi Jinping.
Sidang itu menghimpunkan kira-kira 20 pemimpin dunia lain yang dijangka membincangkan isu keselamatan serantau, kerjasama ekonomi serta hubungan geopolitik semasa.
Kehadiran Putin sekali gus menandakan komitmen Moscow memperkukuh kerjasama dengan Beijing dalam platform serantau, di samping memperluas jaringan hubungan bersama negara anggota SCO lain.
Sidang kemuncak SCO menghimpunkan lebih 20 pemimpin dunia dan 10 ketua pertubuhan antarabangsa pada 31 Ogos dan 1 Sept.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan hadir sebagai seorang daripada pemimpin utama pada acara itu, dan beliau dijemput untuk menyampaikan ucapan pada SCO Plus Summit pada 1 Sept.
Antara pemimpin dunia yang telah tiba di Tianjin ialah Perdana Menteri India Narendra Modi dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres.
Pemimpin lain yang dijangka hadir ialah Presiden Iran Masoud Pezeshkian, Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif, Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan, Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh dan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet.
Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn juga dijangka hadir pada sidang kemuncak itu.
SCO ditubuhkan di Shanghai pada 2001 oleh China, Rusia, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan dan Uzbekistan.
Hari ini, keanggotaannya telah berkembang merangkumi Pakistan, India, Iran dan Belarus manakala Mongolia dan Afghanistan diberikan status pemerhati.
Antara 14 rakan dialog SCO termasuklah Kemboja, Myanmar, Sri Lanka, Turkiye, Mesir, Arab Saudi dan Maldives. - AFP & BERNAMA