(Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden/ REUTERS)
WASHINGTON, 12 Oktober- Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden percaya rakan sejawatnya dari Rusia, Vladimir Putin, yang lazimnya normal lagi rasional, tersilap menilai keupayaan negaranya untuk menduduki Ukraine.
Bercakap dalam sesi temu bual yang disiarkan menerusi televisyen, pentadbiran Biden berkata masih tidak terlambat bagi Putin untuk meredakan ketegangan di Ukraine sebelum terdesak bagi menggunakan senjata pemusnah besar-besaran.
"Saya fikir beliau rasional dan hanya membuat kesilapan penilaian yang ketara," kata Biden kepada CNN selepas Moscow membedil sasaran awam di seluruh negara jirannya itu, sekali gus menandakan peningkatan konflik yang berlarutan selama tujuh bulan.
Minggu lalu, Biden memberi amaran bahawa dunia menjadi taruhan dan mungkin menyaksikan 'hari kiamat' jika Putin menggunakan senjata nuklear untuk membantu negaranya menduduki sebahagian besar kawasan di Ukraine.
Pemikiran Putin turut menjadi tanda tanya selepas beliau terpaksa mengarahkan pengunduran tentera Rusia, yang didakwa berlaku beberapa kali sejak Moscow melancarkan operasinya pada Februari lalu.
Dalam sesi temu bual sama, Biden berkata Putin memandang rendah 'kebengisan' tentera Ukraine, meskipun menganggap rakan sejawatnya itu seorang yang rasional.
(Presiden Rusia, Vladimir Putin (kiri) berjabat tangan dengan Presiden AS, Joe Biden
di Geneva pada 16 Jun 2021/ AFP)
"Saya fikir... dia fikir dia akan disambut dengan tangan terbuka bahawa ini adalah tanah air Rusia di Kiev, di mana dia akan dialu-alukan. Saya fikir dia hanya tersilap menilai keadaan," katanya.
Operasi dilakukan tentera Ukraine beberapa minggu lalu dikatakan memberi tekanan sehingga membuatkan tentera Rusia berundur di seluruh barisan hadapan di selatan dan timur.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, pada Jumaat lalu berkata tenteranya berjaya menawan semula hampir 2,500 kilometer persegi menerusi operasi serangan balas yang bermula akhir bulan lalu. - AFP