fb fb fb fb fb

Putin rombak kepimpinan ketenteraan, tukar Menteri Pertahanan

Putin (kanan) bersalaman dengan Shoigu / FOTO REUTERS

MOSCOW, 13 Mei- Presiden Rusia Vladimir Putin pada Ahad membuat keputusan mengejutkan dengan menggantikan Menteri Pertahanan Sergei Shoigu dalam gerakan perubahan besar kepada kepimpinan tenteranya.

Putin mencadangkan ahli ekonomi Andrey Belousov sebagai pengganti Shoigu, menurut senarai pencalonan menteri yang diterbitkan oleh Majlis Persekutuan, Parlimen Rusia.

Tindakan itu dilakukan pada masa penting dalam konflik dengan kemaraan tentera Rusia di timur Ukraine selesai pelancaran operasi darat baru besar-besaran terhadap wilayah timur laut Kharkiv.

Walaupun terdapat beberapa halangan ketenteraan pada tahun pertama kempen termasuk kegagalan untuk menawan ibu kota Kyiv dan berundur dari wilayah Kharkiv dan Kherson selatan, Putin tetap menyokong Shoigu sehingga kini.

Itu termasuk apabila ketua separa tentera Wagner Yevgeny Prigozhin melancarkan pemberontakan berdarah tahun lalu menggesa Shoigu disingkirkan.

Menjelaskan alasan keputusan itu dibuat, Kremlin pada Ahad berkata ia memerlukan kementerian pertahanan untuk kekal inovatif.

"Kementerian pertahanan mesti terbuka sepenuhnya kepada inovasi, kepada pengenalan semua idea maju, kepada penciptaan syarat untuk daya saing ekonomi," jelas media kerajaan memetik jurucakap Kremlin Dmitry Peskov.

"Medan perang dimenangi oleh sesiapa yang lebih terbuka kepada inovasi," kata Peskov.

"Itulah kemungkinan mengapa presiden telah menyelesaikan pencalonan Andrey Belousov," tambahnya.

Belousov, yang tidak mempunyai latar belakang ketenteraan, telah menjadi salah seorang penasihat ekonomi Putin yang paling berpengaruh sejak sedekad lalu.

Menteri pertahanan UK Grant Shapps berkata konflik Ukraine telah menyebabkan lebih 355,000 askar Rusia terkorban bawah pengawasan Shoigu.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE