fb fb fb fb fb

Putin janji hantar bijirin percuma ke enam negara Afrika

(Vladimir Putin (kanan) menyambut Presiden Guinea, Bissau Umaro Sissoco Embalo (kiri) pada sidang kemuncak
Rusia-Afrika kedua di Saint Petersburg,Rusia pada 27 Julai 2023/AFP)

MOSCOW, 28 Julai- Presiden Rusia, Vladimir Putin menawarkan bijirin percuma kepada enam negara Afrika pada sidang kemuncak kedua Afrika di St Petersburg.

Tawaran itu berlaku selepas minggu lalu Rusia enggan melanjutkan perjanjian yang membenarkan eksport hampir 33 juta tan bijirin Ukraine dan produk makanan lain melalui Laut Hitam.

Ukraine dan Rusia dianggap sebagai penyumbang produk bijirin terpenting untuk membantu memerangi masalah kelaparan di dunia.

Dalam ucaptama pada sidang kemuncak itu semalam, Putin berkata, Rusia boleh 'menggantikan bijirin Ukraine' dan berjanji untuk menghantar bijirin ke enam negara Afrika tersebut.

"Dalam beberapa bulan akan datang kami akan dapat memastikan bekalan percuma sebanyak 25,000 hingga 50,000 tan bijirin ke Burkina Faso, Zimbabwe, Mali, Somalia, Republik Afrika Tengah dan Eritrea," kata Putin.

Kremlin turut mendakwa negara Barat cuba menghalang negara Afrika daripada menyertai sidang kemuncak itu, yang kedua seumpamanya.

Seramai 17 pemimpin Afrika termasuk Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa dijangka hadir pada sidang kemuncak Rusia-Afrika yang berlangsung sehingga hari ini.

Selain isu keterjaminan makanan, sidang kemuncak itu juga dijangka menyentuh mengenai memperluas perdagangan.

Rusia adalah pembekal senjata utama ke Afrika. -AFP

 (Vladimir Putin/AFP)

Media Baharu