(Orang ramai berkumpul di hadapan skrin yang memaparkan imej Presiden Rusia Vladimir Putin)
MOSCOW, 26 Februari - Presiden Rusia, Vladimir Putin secara terbuka menggesa angkatan tentera Ukraine supaya menggulingkan kerajaan negara itu yang disifatkannya sebagai 'pengganas'.
"Nampaknya lebih mudah bagi kami mencapai persetujuan dengan anda (tentera Ukraine) berbanding kumpulan penagih dadah dan neo-Nazi," kata Putin dalam ucapan yang disiarkan di televisyen tempatan, merujuk kepada kerajaan pimpinan Presiden Volodymyr Zelensky yang berketurunan Yahudi.
Beliau juga mendakwa, pasukan ultranasionalis Ukraine sedang membuat persiapan untuk menempatkan senjata berat seperti pelancar roket di kawasan kediaman di bandar-bandar besar Ukraine termasuk Kyiv dan Kharkiv untuk memprovokasi tentera Rusia.
Menurutnya, pimpinan Ukraine berkelakuan seperti pengganas di seluruh dunia.
Mereka menyorok di belakang pihak lain dengan harapan dapat menyalahkan Rusia apabila terdapat orang awam yang terkorban.
"Diketahui secara fakta tindakan mereka adalah atas cadangan konsultan asing terutama penasihat dari Amerika Syarikat," tambah beliau.
Putin sebelum ini menjelaskan serangan berskala besar yang dilancar hanya menyasarkan golongan ultranasionalis di Ukraine.
Sementara itu jurucakapnya, Dmitry Peskov menuduh pihak berkuasa Ukraine sebelum ini menolak cadangan Rusia mengadakan perbincangan di Belarus.
"Selepas berdiam diri mereka (kerajaan Ukraine) menyatakan persetujuan untuk berbincang di Warsaw.
"Dan sekarang mereka tidak berkomunikasi," katanya dalam sidang media. -AFP