fb fb fb fb fb

Putera mahkota Arab Saudi dinamakan perdana menteri

(Putera Mahkota Saudi Mohammed bin Salman telah dinamakan
sebagai perdana menteri kerajaan itu/AFP)

RIYADH, 28 September- Putera mahkota Arab Saudi telah dinamakan sebagai perdana menteri, jawatan yang secara tradisinya dipegang oleh raja.

Mohammed bin Salman, yang telah menjadi 'pemerintah de facto' kerajaan selama beberapa tahun, sebelum ini berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri dan menteri pertahanan di bawah Raja Salman.

Jawatan menteri pertahanan kini diambil alih adiknya, Khalid bin Salman, yang sebelum ini merupakan timbalan menteri pertahanan, menurut dekri Raja Salman yang diterbitkan oleh agensi akhbar rasmi Saudi.


(Putera Mahkota Mohammed bin Salman/REUTERS)

Ketua kementerian kritikal lain, termasuk Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar dan Kementerian Tenaga, dikekalkan.

Putera Mohammed, 37 tahun, telah diangkat sebagai putera mahkota pada 2017 bagi menggantikan bapanya sebagai raja.

Beliau menjadi menteri pertahanan pada 2015, satu langkah penting dalam penyatuan kuasa yang pantas menyaksikannya menerajui portfolio utama.

Arab Saudi selama bertahun-tahun berusaha mengetepikan spekulasi mengenai kesihatan Raja Salman, 86 tahun, yang telah memerintah sejak 2015.

Pada 2017, kerajaan Saudi menolak laporan dan spekulasi bahawa raja merancang untuk turun takhta.

Raja Salman telah dimasukkan ke hospital dua kali tahun ini, yang terbaharu selama seminggu pada Mei lepas kerana ujian kesihatan termasuk kolonoskopi. -AFP

Media Baharu