fb fb fb fb fb

Tindakan peneroka haram Israel menjijikkan

Foto REUTERS

GENEVA, 15 November - Tindakan peneroka haram Israel melakukan serangan dan pembakaran secara meluas di Tebing Barat yang diduduki minggu ini adalah menjijikkan, demikian menurut jurucakap Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (OHCHR), Thameen Al-Kheetan.

Beliau ketika taklimat mingguan di Pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat berkata, tindakan terbabit mencerminkan corak keganasan yang semakin meningkat terhadap rakyat Palestin.

"Imej memaparkan segerombolan peneroka haram Israel melakukan serangan dan pembakaran itu adalah sesuatu yang menjijikkan.

"Beberapa orang cedera dalam kejadian itu termasuk serangan ke atas sebuah kilang tenusu dan pembakaran trak penghantaran serta rumah," katanya.

Keganasan yang dilakukan Zionis semakin meluas apabila pihak berkuasa negara haram itu meningkatkan perobohan rumah, rampasan harta, penangkapan serta sekatan pergerakan.

Israel turut membina penempatan serta pos haram yang berterusan selain melakukan pengusiran dan pemindahan paksa ribuan rakyat Palestin.

OHCHR mengecam tindakan tidak berperikemanusiaan terbabit dan memberi amaran yang sebahagian daripadanya mungkin dianggap sebagai jenayah perang.

"Memindahkan penduduk Palestin secara kekal di wilayah yang diduduki merupakan pemindahan tidak sah dan merupakan jenayah perang. Pemindahan sebahagian daripada penduduk awam Israel ke wilayah yang didudukinya juga merupakan jenayah perang.

"Kami menegaskan semula bahawa dakwaan Israel mengenai kedaulatan ke atas Tebing Barat yang diduduki melanggar undang-undang antarabangsa sebagaimana disahkan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Ia juga melanggar hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri,” ujar Al-Kheetan.

Jumlah serangan semakin meningkat dengan lebih 260 serangan dilakukan oleh peneroka haram Israel pada Oktober yang merupakan rekod bulanan tertinggi sejak 2006.

PBB turut melaporkan sekurang-kurangnya 1,017 rakyat Palestin termasuk 221 orang kanak-kanak dibunuh rejim Zionis dan peneroka haram Israel di Tebing Barat sejak Oktober 2023. - REUTERS

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN