GAZA, 15 November - Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan kebimbangan susulan ratusan khemah dan tempat perlindungan sementara penduduk Gaza dinaiki air ekoran hujan lebat melanda wilayah itu pada Jumaat.
Jurucakap PBB, Stephane Dujarric berkata petugas kemanusiaan di Gaza melaporkan situasi tersebut dikhuatiri mendedahkan penduduk kepada cuaca buruk selain risiko kesihatan dan perlindungan.
Beliau memaklumkan pasukan terlibat telah berusaha untuk menyediakan tempat perlindungan sokongan dan telah menggegaskan pasukan tindak balas pantas.
Sukarelawan juga telah membuat persiapan awal beberapa minggu sebelum ini bagi mendepani musim sejuk dan mengurangkan kesan hujan.
1,000 khemah telah diedarkan kepada penduduk di Deir al-Balah dan Khan Younis pada Khamis.
Manakala antara Ahad hingga Rabu, kira-kira 7,000 selimut disediakan kepada 1,800 keluarga.
Salah seorang penduduk, Mariam al-Najjar menggambarkan bagaimana dia terjaga pada waktu pagi selepas mendapati air mengalir ke dalam tempat perlindungan keluarganya.
"Tilam kami basah, pakaian kami basah. Semua yang kami miliki basah. Dari pukul 2 pagi, kami berdiri supaya tidak tenggelam," kongsinya.
Abu Ahmed al-Mtawaq pula memberitahu hujan lebat yang turun tidak sampai sejam itu menjadi punca kawasan kem dinaiki air.
"Bayangkan jika hujan turun selama empat jam? Apa yang akan berlaku kepada orang-orang yang berlindung di kem? Di mana kami boleh pergi untuk berlindung dalam situasi ini?" luahnya.
Penduduk Gaza terpaksa berlindung dalam khemah di kem selepas sebahagian besar wilayah itu musnah akibat serangan rejim Israel sejak Oktober 2023 yang mengorbankan lebih 69,000 nyawa termasuk kanak-kanak. - REUTERS