fb fb fb fb fb

Puluhan terbunuh dalam serangan masjid, gereja di Burkina Faso

Foto Hiasan

OUAGADOUGOU, 27 Februari- Serangan ke atas sebuah masjid di timur Burkina Faso membunuh puluhan umat Islam, sementara satu lagi serangan maut turut berlaku terhadap penganut Katolik yang menghadiri upacara keagamaan di wilayah sama.

Serangan berlaku pada Ahad di dua kawasan berbeza selepas negara diperintah junta itu terus bergelut dengan keganasan sejak beberapa tahun.

"Individu bersenjata menyerang sebuah masjid di Natiaboani pada Ahad sekitar jam 5 pagi, mengakibatkan puluhan terbunuh," menurut sumber keselamatan.

Penduduk tempatan yang dihubungi menerusi panggilan telefon memberitahu mangsa kesemuanya beragama Islam, kebanyakannya lelaki yang datang untuk solat subuh.

Satu lagi sumber tempatan berkata, pengganas memasuki bandar itu pada awal pagi.

"Mereka mengepung masjid dan menembak ke arah orang awam yang berkumpul di sana untuk solat. Beberapa daripada mereka terkena tembakan, termasuk seorang pemimpin agama," katanya.

Menurutnya, tentera dan anggota sukarelawan untuk Pertahanan Tanah Air (VDP) serta pasukan awam yang menyokong tentera, turut menjadi sasaran kumpulan yang datang dalam jumlah yang besar itu.

Sumber itu menyifatkannya sebagai serangan berskala besar dari segi jumlah penyerang, selain menyebabkan kerosakan teruk.

Natiaboani ialah komuniti luar bandar kira-kira 60 kilometer (37 batu) di selatan Fada N'Gourma, bandar utama di wilayah timur Burkina, yang telah mengalami serangan berkala oleh kumpulan bersenjata sejak 2018.

Pada hari yang sama dengan serangan ke atas masjid itu, sekurang-kurangnya 15 orang awam terbunuh, sementara dua lagi cedera dalam serangan ke atas sebuah gereja Katolik pada Ahad.

Jurucakap gereja, Jean-Pierre Sawadogo, dalam satu kenyataan berkata, serangan keganasan itu berlaku di kampung Essakane ketika orang ramai berkumpul untuk menjalankan upacara keagamaan pada Ahad.

Kampung Essakane terletak di zon tiga sempadan di timur laut negara itu, berhampiran sempadan Burkina Faso, Mali dan Niger.

Menurut sumber keselamatan, beberapa ratusan pemberontak sudah dineutralkan dalam operasi balas.

Masjid dan imam pada masa lalu menjadi sasaran serangan oleh kumpulan pengganas itu.

Badan bukan kerajaan (NGO) termasuk kumpulan analisis ACLED berkata, sekitar 20,000 orang di Burkina Faso sudah terbunuh dalam siri keganasan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut menyatakan lebih dua juta penduduk terpaksa dipindahkan akibat keganasan yang berlaku. - AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI