fb fb fb fb fb

Puluhan ribu penduduk Kemboja diusir akibat ketegangan baharu di sempadan Thailand

FOTO REUTERS

BANTEAY MEANCHEY, 12 Disember - Keluarga-keluarga yang tinggal di sepanjang sempadan Kemboja-Thailand kini hidup dalam ketidaktentuan selepas ketegangan rentas sempadan yang tercetus secara mendadak memaksa puluhan ribu penduduk melarikan diri dari rumah mereka.

Selepas beberapa bulan keadaan reda sejak pertempuran pertama meletus pada musim panas lalu, konflik dilaporkan kembali memuncak sejak Ahad petang, dengan kedua-dua pihak saling menuduh antara satu sama lain mencetuskan serangan.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja pada Rabu memaklumkan lebih 100,000 penduduk kampung telah dipindahkan ke kawasan selamat berikutan insiden terbaharu itu.

Di wilayah Banteay Meanchey, pusat pemindahan menjadi tempat perlindungan sementara, menyaksikan penduduk yang tiba dalam kegelapan malam membawa anak-anak serta hanya beberapa barangan penting, selepas letupan melanda beberapa kampung berhampiran sempadan.

Pihak berkuasa berkata mereka berusaha sedaya upaya membantu golongan paling terjejas di kem-kem sementara yang didirikan secara tergesa-gesa.

“Saya lihat warga emas, kanak-kanak kecil, wanita hamil dan orang kelainan upaya paling menderita akibat pemindahan mengejut ini. Mereka adalah golongan paling rentan, namun mendapat perhatian khusus daripada kerajaan. Kami menyediakan perlindungan yang sesuai, pasukan perubatan sentiasa bersiap sedia, dan bekalan makanan mencukupi agar tiada yang kelaparan,” kata Gabenor Banteay Meanchey, Oum Peatrey.

Dalam suasana serba tidak pasti, para penduduk yang dipindahkan masih buntu memikirkan bila mereka boleh pulang kerana kehidupan mereka kini terhenti secara tiba-tiba.

Ramai bimbang tentang rumah, tanaman dan ternakan, namun kegusaran terbesar mereka adalah terhadap anak-anak yang masih belum faham mengapa mereka perlu melarikan diri atau bila kehidupan akan kembali seperti biasa.

“Saya lari ketika letupan berlaku di belakang kami. Saya tiada motosikal untuk membawa barang penting. Saya kurang risau tentang diri sendiri, tetapi lebih risau tentang cucu-cucu saya, mereka masih kecil, tidak faham apa yang berlaku. Setiap hari saya berdoa agar semua ini berakhir, agar Thailand berhenti, dan kami dapat hidup dalam damai,” luah seorang warga emas, Kim Sophat.

Antara yang turut melarikan diri ialah Prem Prek, 106 tahun, yang berharap hayatnya yang panjang tidak lagi menyaksikan penderitaan.

“Saya hanya mahukan keamanan dan masa depan yang lebih baik untuk rakyat Kemboja. Saya berharap generasi muda tidak perlu mengenali perang atau melalui pengalaman seperti ini,” katanya.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE