fb fb fb fb fb

Hujan lebat tenggelamkan khemah pelarian di Gaza, ribuan terjejas

FOTO REUTERS

NUSEIRAT, 12 Disember - Hujan lebat yang melanda Gaza sejak Khamis telah menyebabkan ratusan khemah pelarian ditenggelami air. Keadaan itu semakin memburukkan kehidupan ribuan pelarian yang terpaksa bertahan di tengah-tengah kesulitan selepas peperangan yang memusnahkan sebahagian besar Gaza.

Youssef Tawtah, 50 tahun, bersama keluarga sembilannya, tidak dapat tidur sepanjang malam akibat cuaca buruk dan air hujan yang membanjiri khemah serta kawasan penempatan sementara mereka di Nuseirat, Gaza.

“Sepanjang malam, saya dan anak-anak berdiri sahaja,” katanya sambil berdiri dalam air setinggi buku lali di luar khemahnya pada pagi Jumaat. “Tiada seorang pun daripada kami tidur… Bukan saya sahaja, tetapi seluruh kem. Makanan kami semua rosak.”

Pegawai majlis perbandaran dan pertahanan awam berkata mereka tidak mampu mengendalikan situasi itu kerana kekurangan bahan api dan peralatan yang rosak.

Ratusan kenderaan, termasuk jentolak dan pam air yang digunakan untuk menyedut air banjir, musnah dalam peperangan, menyukarkan usaha untuk menyelamatkan mangsa banjir. Konflik itu telah mengakibatkan lebih dua juta penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal dan merosakkan banyak infrastruktur.

Pertubuhan Antarabangsa Migrasi (IOM) pada Jumaat melaporkan ratusan ribu pelarian Gaza kini berdepan risiko banjir besar yang menenggelami khemah dan tempat perlindungan mereka. Bahan pembinaan dan guni pasir untuk mengukuhkan struktur perlindungan juga tidak dibenarkan memasuki Gaza akibat sekatan.

Hampir 795,000 pelarian kini berada di kawasan rendah yang dipenuhi runtuhan dan berisiko tinggi terdedah kepada banjir yang berbahaya, di mana mereka terpaksa tinggal di dalam tempat perlindungan yang tidak selamat. Kekurangan sistem perparitan dan pengurusan sisa juga menambah kepada ancaman wabak penyakit.

Bahan-bahan penting seperti kayu, papan lapis, guni pasir, dan pam air yang boleh membantu mengurangkan banjir turut tertangguh daripada memasuki Gaza disebabkan sekatan akses yang berterusan.

Israel pula menyatakan ia telah memenuhi tanggungjawab kemanusiaannya dan menuduh agensi-agensi bantuan tidak cekap serta gagal menghalang kecurian oleh Hamas.

Walaupun gencatan senjata secara umumnya masih kekal sejak Oktober, perang telah memusnahkan sebahagian besar infrastruktur Gaza dan kehidupan penduduk di kawasan itu terus terjejas. Pegawai PBB dan Palestin turut menyatakan sekurang-kurangnya 300,000 khemah baharu diperlukan dengan segera untuk menampung kira-kira 1.5 juta penduduk yang masih kehilangan tempat tinggal.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE