fb fb fb fb fb

Puluhan ribu berhimpun di Eropah, desak hentikan perang di Gaza

Penunjuk perasaan mengibarkan bendera Palestin dan Iran ketika mereka mengambil bahagian dalam perarakan di London. Foto AFP

LONDON, 22 Jun - Puluhan ribu penunjuk perasaan pro-Palestin berarak di bandar-bandar Eropah menggesa perang di Gaza dihentikan segera.

Di London, ribuan berkumpul sambil mengibarkan bendera Palestin ketika mereka berarak melalui ibu kota Britain dengan selendang keffiyeh.

Di Berlin, Jerman, lebih 10,000 berhimpun di tengah bandar untuk menyuarakan sokongan kepada rakyat Gaza.

Menurut seorang peserta Marwan Radwan, tujuan protes itu diadakan adalah untuk memberi perhatian kepada pembunuhan beramai-ramai yang sedang berlaku di Gaza dan mengigatkan pemerintah tentang perkara itu.

Keadaan itu turut tercetus di Bern, Switzerland, yang mana penganjur menganggarkan bahawa 20,000 orang berhimpun di hadapan bangunan Parlimen, menggesa kerajaan menyokong gencatan senjata.

Perhimpunan itu dikoordinasikan oleh beberapa organisasi termasuk Amnesty International, Parti Demokratik Sosial, Hijau dan Persekutuan Kesatuan Sekerja Switzerland.

Peserta secara sepakat melaungkan slogan "Hentikan pendudukan," "Hentikan kebuluran, hentikan keganasan," dan "Hak untuk menentukan nasib sendiri".

Sementara itu, beribu-ribu warga Perancis berkumpul di luar pameran perdagangan Perancis berhampiran Paris bagi medesak Israel menamatkan perang di Gaza dan bertindak menghentikan segala perancangan perang mereka ke atas wilayah tersebut.

Perarakan tersebut diadakan selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan bahawa tentera AS telah melakukan serangan ke atas tiga kemudahan nuklear Iran. -AFP

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI