BEIRUT, 22 Jun - Bekas pengawal peribadi pemimpin Hizbullah, Hussein Khalil, terkorban dalam serangan Israel di Iran pada Sabtu.
Menurut Hizbullah dalam satu kenyataan, Hussein atau lebih dikenali sebagai Abu Ali maut dalam serangan dron berhampiran sempadan Iraq.
Hussein sebelum ini merupakan pegawal peribadi kepada Hassan Nasrallah yang terbunuh dalam serangan rejim Zionis di pinggir bandar selatan Beirut pada 27 September tahun lalu. Beliau juga digelar sebagai "perisai" Nasrallah.
Sementara itu, Briged Sayyed al-Shuhada di Iraq memaklumkan serangan itu turut mengorbankan komander unit keselamatannya, Haider al-Moussawi dan anaknya Mahdi.
Dalam serangan berasingan, lima kanak-kanak cedera di Iraq akibat serpihan peluru berpandu yang jatuh berhampiran bandar Dujail di wilayah utara Salaheddin.
Menurut laporan AFP, semua kanak-kanak itu mengalami kecederaan sederhana dan ringan. Bagaimanapun, asal usul serpihan peluru berpandu itu tidak dapat dipastikan. -REUTERS