fb fb fb fb fb

Serangan AS, tiada kesan radioaktif di rantau Teluk

Foto AFP

RIYADH, 22 Jun - Pihak berkuasa kawal selia Arab Saudi mengesahkan bahawa "tiada kesan radioaktif dikesan" di rantau Teluk selepas Amerika Syarikat (AS) menyerang kemudahan nuklear Iran.

"Tiada kesan radioaktif dikesan pada persekitaran Arab Saudi dan negara-negara Teluk Arab susulan serangan tentera AS yang menyasarkan kemudahan nuklear Iran," tulis Suruhanjaya Pengawalseliaan Nuklear dan Radiologi Arab Saudi dalam catatan di platform X.

Sementara itu, Pengawal Kebangsaan Kuwait menerusi platform serupa turut memaklumkan bahawa "paras sinaran di ruang udara dan perairan Kuwait adalah stabil dan keadaan adalah normal".

Terdahulu, Presiden AS, Donald Trump menerusi ucapanya di White House mengumumkan serangan tentera AS telah memusnahkan kemudahan nuklear utama Iran sepenuhnya.

Katnya, objektif itu bertujuan memusnahkan kapasiti pengayaan dan menghentikan ancaman nuklear yang ditimbulkan oleh Tehran.

Kementerian Luar Iran pula berkata serangan AS ke atas kemudahan nuklear Tehran menunjukkan bahawa Washington tidak akan berhenti menyalahi undang-undang atau jenayah untuk menyokong Israel.

“Kini telah menjadi sangat jelas bahawa rejim yang menikmati keahlian tetap dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) tidak berpegang kepada prinsip atau moral dan tidak akan berhenti menyalahi undang-undang atau jenayah untuk mencapai matlamat rejim," Kata Kementerian itu dalam satu kenyataan merujuk kepada AS dan Israel. -AFP

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI