fb fb fb fb fb

Puluhan pelajar Columbia University ditahan dalam protes pro-Palestin terbesar sejak 2023

Penunjuk perasaan pro-Palestin ditahan oleh NYPD selepas menyertai demonstrasi pro-Palestin di Perpustakaan Butler, kampus Columbia University di New York / REUTERS

NEW YORK, 8 Mei- Polis New York menahan puluhan pelajar Columbia University selepas mereka menceroboh perpustakaan utama kampus dalam salah satu demonstrasi pro-Palestin terbesar sejak tercetusnya perang Gaza tahun lalu.

Menurut saksi dan pihak berkuasa, seramai 40 hingga 50 pelajar yang bergari dengan pengikat kabel plastik dilihat diiring keluar dari bangunan perpustakaan Butler ke dalam van dan bas milik NYPD.

Manakala pasukan polis terus melakukan pembersihan menyeluruh di bangunan enam tingkat itu untuk menahan penunjuk perasaan yang enggan bersurai.

Kehadiran polis ke kampus dilakukan atas permintaan pihak pengurusan universiti yang mendakwa pelajar-pelajar terbabit telah menceroboh ruang bacaan utama di tingkat dua perpustakaan tersebut.

Rakaman video dan gambar di media sosial menunjukkan para penunjuk perasaan kebanyakannya bertopeng berdiri di atas meja sambil memukul dram dan mengibarkan sepanduk yang bertulis "Strike For Gaza" dan "Liberated Zone" di bawah lampu gantung hiasan di ruang bacaan Lawrence A. Wein.

Bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sebelum ini mengecam keras demonstrasi pro-Palestin di Columbia, menyifatkannya sebagai antisemitik serta mencerminkan kegagalan institusi itu dalam melindungi pelajar Yahudi.

Bagaimanapun, pelajar yang terlibat dalam protes berkenaan termasuk penganjur Yahudi menolak dakwaan tersebut dan mendakwa Trump serta ahli politik konservatif pro-Israel lainnya cuba menyamakan secara tidak adil antara sokongan terhadap Palestin dan sentimen anti-Yahudi.

Sementara itu, Columbia masih berunding dengan pentadbiran Trump berikutan keputusan kerajaan untuk membatalkan geran penyelidikan berjumlah ratusan juta dolar kepada universiti itu sejak Mac lalu.

Pihak universiti dalam kenyataan berkata mereka sedang berusaha menangani isu antisemitisme dan segala bentuk prejudis di kampus sambil menolak tuduhan bahawa mereka tunduk kepada tekanan kerajaan yang boleh menjejaskan kebebasan akademik.

Sementara itu, jurucakap NYPD mengesahkan beberapa tangkapan telah dibuat, namun jumlah sebenar tidak dinyatakan.

“Setiap individu mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat secara aman. Tetapi sebarang bentuk keganasan, vandalisme atau kerosakan harta benda adalah tidak boleh diterima,” tegas Gabenor New York, Kathy Hochul menerusi kenyataan di media sosial.

Sebelum pihak polis tiba, petugas keselamatan universiti dilihat mengunci pintu utama perpustakaan, menyebabkan pelajar tidak dapat masuk dan menimbulkan suasana tolak-menolak di luar bangunan.

Seorang pelajar dilaporkan cedera dalam insiden tersebut, manakala seorang lagi individu dibawa keluar dengan pengusung oleh pasukan perubatan.

Sekatan akses masuk ke perpustakaan menyebabkan kumpulan penunjuk perasaan yang semakin ramai beralih ke jalan utama di luar pagar kampus.

Satu pertubuhan pelajar mewakili penunjuk perasaan mendakwa melalui media sosial bahawa mereka telah dikasari oleh petugas keselamatan kampus, selain mengakui sebahagian aktivis enggan menunjukkan pengenalan diri mereka kepada pihak universiti.

Isnin lalu, sekumpulan penunjuk perasaan pro-Palestin turut menduduki sebuah bangunan di University of Washington sebagai tanda bantahan terhadap hubungan institusi itu dengan syarikat Boeing, yang mempunyai kontrak dengan tentera Israel.

Seramai 34 penunjuk perasaan ditahan dan akan didakwa atas kesalahan menceroboh, merosakkan harta benda dan berkelakuan tidak senonoh. Pihak universiti juga mengesahkan 21 daripada mereka yang ditahan telah digantung dan diharamkan daripada memasuki mana-mana kampus universiti berkenaan.

Columbia University sejak tahun lalu menjadi pusat kepada gerakan pelajar pro-Palestin yang lantang menentang tindakan ketenteraan Israel di Gaza, yang bermula sejak 2023.

Dalam perkembangan berkaitan, Trump yang kini dalam kempen pilihan raya turut menyuarakan hasrat untuk mengusir pelajar antarabangsa pro-Palestin dari AS, atas alasan keselamatan dan dasar luar negara.

Antara tuntutan utama penunjuk perasaan di perpustakaan Columbia termasuk pembebasan Mahmoud Khalil, seorang aktivis Palestin dan pelajar siswazah universiti itu yang kini ditahan di pusat tahanan imigresen di Louisiana, selepas menjadi antara yang pertama ditahan bagi proses pengusiran.- REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE