KASHMIR, 8 Mei- Penerbangan terus mengelak ruang udara di utara India dan Pakistan susulan peningkatan konflik antara kedua-dua negara.
Menerusi imej penjejakan penerbangan Flightradar24.com menunjukkan barisan panjang syarikat penerbangan menggunakan laluan berbeza kemungkinan disebabkan kesesakan ruang udara.
Kebanyakan pesawat menggunakan laluan udara Oman, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Kuwait selepas insiden berkenaan.
Syarikat penerbangan lain termasuk United Airlines (Amerika Syarikat), Thai Airways (Thailand) dan Korean Air (Korea Selatan) mengalihkan atau membatalkan penerbangan daripada menggunakan laluan berkenaan.
Sementara itu pihak berkuasa Lapangan Terbang Pakistan menyatakan bahawa operasi penerbangan di lapangan terbang Karachi, Lahore dan Sialkot Pakistan digantung buat sementara waktu.
Laluan udara di barat laut India juga turut memaparkan keadaan lengang selepas menutup lebih 10 lapangan terbang.- Reuters