fb fb fb fb fb

Protes tolak Trump makin tegang, polis lepaskan gas pemedih mata

FOTO AFP

NEW YORK, 15 Jun- Protes menolak kepimpinan Presiden Donald Trump di Amerika Syarikat semakin tegang apabila pihak polis bertindak melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan ribuan penunjuk perasaan di beberapa bandar utama, termasuk New York dan Los Angeles.

Apa yang bermula sebagai demonstrasi aman kini berubah menjadi pertembungan sengit antara peserta dan pihak berkuasa, susulan keengganan sebahagian kumpulan bersurai selepas menerima arahan berulang daripada polis.

Insiden di New York menyaksikan kawasan sekitar Federal Plaza diselubungi asap pemedih mata, ketika pasukan polis rusuhan mula mara ke arah peserta yang membawa sepanduk dan melaungkan slogan anti-Trump. Beberapa peserta dilaporkan mengalami sesak nafas dan terpaksa menerima rawatan di tepi jalan.

“Kami hanya berhimpun secara aman, tapi polis terus sembur gas tanpa amaran jelas,” kata Iris Rodriguez, salah seorang peserta.

Protes besar-besaran itu dilancarkan serentak di semua 50 negeri Amerika Syarikat sebagai tindak balas terhadap dasar Trump yang disifatkan autoritarian dan menindas, terutamanya dalam isu imigresen.

Belon gergasi Trump pakai lampin dikibarkan tinggi sebagai simbol penolakan terhadap gaya pemerintahan yang dianggap seperti seorang ‘raja’. Antara sepanduk yang dibawa peserta berbunyi, “No KKKings!”, “Impeach Trump” dan “The law is king”.

Di New York, puluhan ribu peserta berarak dalam hujan lebat sambil melaungkan “Donald Trump has got to go!” diiringi dram dan loceng. Selebriti seperti Susan Sarandon dan Mark Ruffalo turut menyertai protes.

Ketegangan itu turut dipicu oleh tindakan keras pentadbiran Trump terhadap pendatang tanpa dokumen, termasuk pengusiran lebih 250 warga Venezuela ke penjara mega di El Salvador, satu tindakan yang dibidas pelbagai pihak sebagai kejam dan bercanggah dengan hak asasi.

Di Boston, Los Angeles dan Washington, ribuan lagi turun ke jalan dengan mesej yang sama, menolak pemusatan kuasa dan mengembalikan prinsip demokrasi. Namun kehadiran anggota tentera dan marin yang dihantar oleh kerajaan pusat menambah ketegangan.

Di Culpeper, Virginia, seorang lelaki ditahan selepas merempuh kumpulan peserta yang sedang bersurai menggunakan kenderaannya. Polis mengesahkan suspek, Joseph R. Checklick Jr, 21, bertindak secara sengaja namun tiada kecederaan dilaporkan setakat ini.

Walaupun majoriti protes berlangsung aman, insiden penggunaan kekerasan oleh pihak berkuasa kini menimbulkan kebimbangan baharu. Penganjur memberi amaran bahawa perhimpunan akan diteruskan selagi “demokrasi terus diancam”.

“Kami tak akan berdiam diri. Ini bukan tentang politik semata-mata. Ini tentang masa depan negara,” tegas Lindsay Ross, 28, seorang pemuzik dari Brooklyn.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE