fb fb fb fb fb

Kes guru maut dalam tahanan, seorang lagi polis ditahan

Seorang penunjuk perasaan memegang sepanduk dan menjerit ke arah seorang pegawai polis Kenya semasa demonstrasi membantah kematian blogger Kenya, Albert Ojwang, yang meninggal dunia dalam tahanan polis / AFP

NAIROBI, 15 Jun- Seorang lagi pegawai polis ditahan berkaitan kematian seorang guru dalam tahanan polis di ibu negara Kenya, Nairobi, insiden yang mencetuskan kemarahan di seluruh negara.

Mangsa, Albert Ojwang, yang juga merupakan blogger, dilaporkan meninggal dunia hujung minggu lalu selepas ditahan gara-gara mengkritik seorang pegawai kanan polis menerusi platform dalam talian.

Pada awalnya, pihak polis mendakwa Ojwang mencederakan dirinya sendiri dengan menghentak kepala ke dinding sel. Namun, laporan bedah siasat oleh pakar patologi kerajaan mendapati kecederaan yang dialami "tidak mungkin dilakukan sendiri".

Kematian itu sekali lagi membangkitkan kemarahan rakyat terhadap siri penculikan dan tindakan keras pihak berkuasa ketika demonstrasi anti-kerajaan tahun lalu.

Menurut kenyataan Lembaga Bebas Pemantauan Polis (IPOA), dua individu telah ditahan, termasuk Ketua Balai Polis Nairobi Tengah, Samson Talaam dan seorang awam yang tidak didedahkan identitinya.

Pihak polis turut mengesahkan Talaam ditahan di bandar Eldoret, barat Kenya. Sebelum ini, seorang lagi anggota balai sama, Konstabel James Mukhwana, telah dibawa ke mahkamah atas siasatan yang sedang dijalankan oleh IPOA.

IPOA memohon tempoh tiga minggu untuk melengkapkan siasatan dan memaklumkan kepada mahkamah bahawa Mukhwana berada di balai ketika kejadian.

Terdahulu, jurucakap polis Michael Muchiri memaklumkan lima pegawai telah digantung tugas bagi membolehkan siasatan dijalankan secara telus.

Sementara itu, Presiden Kenya, William Ruto dalam kenyataannya pada Jumaat, menyeru agar siasatan dijalankan segera, dan memberi jaminan bahawa kerajaan akan “melindungi rakyat daripada pegawai polis yang menyalahgunakan kuasa.”

Dalam laporan terbaharu, IPOA turut mendedahkan sebanyak 18 kematian dalam tahanan telah direkodkan dalam tempoh empat bulan lalu.

Dalam pada itu, para penunjuk perasaan telah turun ke jalanan dan berarak ke bangunan Parlimen pada Khamis sebagai membantah insiden tersebut. Keadaan bertukar tegang apabila sebahagian daripada mereka bertindak membaling batu, manakala polis melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan kumpulan terbabit.

Penunjuk perasaan juga menuntut peletakan jawatan Timbalan Ketua Polis Kenya, Eliud Kipkoech Lagat, pegawai yang dikritik Ojwang sebelum beliau ditahan.

Pertubuhan hak asasi manusia pula mendakwa puluhan individu telah ditahan secara haram selepas protes tahun lalu, dengan sebahagiannya masih hilang tanpa berita, manakala yang lain ditahan kerana mengkritik Presiden Ruto dan pentadbirannya.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE