WASHINGTON, 15 Jun - Pihak berkuasa meminta penduduk di dua kawasan pinggir bandar Minneapolis agar kekal berada di dalam rumah ketika operasi memburu seorang suspek yang menyamar sebagai pegawai polis dan melepaskan tembakan ke arah dua penggubal undang-undang Parti Demokrat serta pasangan masing-masing di kediaman mereka.
Lapor media tempatan, mangsa serangan sebelum subuh itu dikenal pasti sebagai Senator negeri John Hoffman dan isterinya di Champlin, serta Wakil Rakyat Negeri Melissa Hortman dan suaminya di Brooklyn Park.
Keadaan semasa kesemua mangsa masih belum diketahui.
Senator AS dari Minnesota Amy Klobuchar, mengesahkan identiti mangsa dalam satu hantaran di platform X sambil menyifatkan insiden itu sebagai “tindakan keganasan yang mengejutkan.”
Beliau turut menitipkan doanya "bersama keluarga Hortman dan Hoffman. Kedua-dua mereka adalah rakan karib serta amat berdedikasi kepada keluarga dan perkhidmatan awam.
Gabenor Minnesota Tim Walz akan mengadakan sidang media dalam masa terdekat untuk “menangani isu keganasan yang menyasarkan penggubal undang-undang.”
Dalam satu hantaran di X, Walz berkata “dimaklumkan pagi ini mengenai situasi berterusan membabitkan insiden tembakan bersasar di Champlin dan Brooklyn Park. Jabatan Keselamatan Awam Minnesota dan penguat kuasa tempatan berada di lokasi.”
Dalam catatan kemudian, Walz berkata dia telah mengaktifkan Pusat Operasi Kecemasan Minnesota dan menyediakan semua sumber negeri untuk membantu polis di kedua-dua kawasan itu.- BERNAMA