fb fb fb fb fb

Protes bakar al-Quran: Denmark lanjut tempoh kawalan sempadan

(Polis meronda di hadapan masjid di Noerrebro, di mana kumpulan mengumumkan bahawa
akan membakar  al-Quran, di Copenhagen, Denmark, 27 Januari 2023/ REUTERS)

COPENHAGEN, 9 Ogos- Denmark akan melanjutkan kawalan sempadan negaranya dengan lebih ketat susulan insiden protes membabitkan pembakaran al-Quran dalam beberapa bulan kebelakangan ini, termasuk yang berlaku di negara jirannya, Sweden.

Menurut Kementerian Kehakiman hari ini, polis mendapati negara itu perlu mempergiatkan usaha buat sementara waktu di sempadan dalaman Denmark yang memetik cadangan daripada Perkhidmatan Keselamatan dan Perisikan (PET).

Kawalan sempadan di Denmark sebelum ini dijadual dilaksanakan selama seminggu selepas diperkenalkan pada 3 Ogos lalu, namun pemeriksaan rawak di sempadan Sweden dan Jerman itu dilanjutkan sehingga 17 Ogos ini.

Denmark bersama Sweden, telah meningkatkan keselamatan berikutan sebagai tindak balas terhadap pembakaran al-Quran di negara Scandinavia.

Menteri Kehakiman, Peter Hummelgaard, berkata pembakaran al-Quran sejak kebelakangan ini memberi kesan kepada tahap ancaman semasa.

"Kami berada dalam situasi yang serius, yang mana kami memerlukan kawalan yang lebih ketat di sempadan Denmark untuk mengatasi ancaman yang dihadapi di negara itu," katanya.

Di kedua-dua negara, pihak berkuasa sedang mempertimbangkan cara untuk mengehadkan demonstrasi membabitkan pembakaran al-Quran, namun cuba mengimbangi hak kebebasan bersuara. -AFP


(Orang ramai di Sanaa, Yaman berdemonstrasi menentang insiden pembakaran al-Quran di Denmark, 24 Julai 2023/ REUTERS)

Media Baharu