(Foto Reuters)
LIMA, 18 Januari- Protes menuntut Presiden baharu Peru, Dina Boluarte meletak jawatan terus mencemar keamanan ibu kota Lima.
Tunjuk perasaan berlarutan biarpun pihak berkuasa telah menguatkuasakan perintah darurat di beberapa wilayah, selain mengenakan tindakan tegas kepada peserta protes.
Penunjuk perasaan dari pelbagai wilayah di negara itu memenuhi Lima berarak sambil melaungkan kecaman terhadap Dina.
Mereka mendakwa tindakan turun ke jalanan menyatakan bantahan sebagai usaha mempertahankan negara dan menolak kerajaan diktator.
"Kami telah datang (ke Lima) untuk mempertahankan negara kami, memandangkan kami berada di bawah kerajaan diktator," kata Yorbin Herrera, seorang penunjuk perasaan yang mengembara dari Cajamarca ke Lima untuk mengambil bahagian dalam protes itu.
(Polis menggunakan gas pemedih mata bagi menyuraikan penunjuk perasaan/Foto Reuters)
Di Cusco, penunjuk perasaan berlepas ke Lima dalam konvoi trak dan kereta manakala penduduk Puno bersorak ketika orang ramai menaiki van untuk menyertai protes di ibu negara.
Protes antikerajaan bermula pada awal Disember apabila bekas presiden berhaluan kiri Pedro Castillo disingkirkan daripada jawatan dan kemudian ditahan selepas cuba membubarkan Kongres secara haram.
Penunjuk perasaan menggesa Boluarte meletak jawatan dan juga menuntut pilihan raya awal, perlembagaan baru, penutupan Kongres sepenuhnya dan pembebasan Castillo.
Setakat ini, 42 orang terkorban termasuk seorang pegawai polis dalam pertempuran ganas antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan.-REUTERS