fb fb fb fb fb

Proses pembahagian kerusi tidak boleh tergopoh-gopoh

(Timbalan Perdana Menteri menerima cendera kenangan daripada Menteri Besar Pahang semasa Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang/BERNAMA)

KUALA LIPIS, 1 Mei- Proses pembahagian kerusi antara parti dalam Kerajaan Perpaduan tidak boleh dilakukan secara tergopoh-gopoh, demikian kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, ini kerana sebarang keputusan perlu dibuat atas faktor penerimaan para pengundi terhadap calon yang dipilih.

Justeru katanya, semua parti dalam Kerajaan Perpaduan akan mengadakan perbincangan di peringkat negeri sebelum dimuktamadkan ke peringkat nasional.
 
"Kita tidak akan membuat keputusan tergopoh-gopoh kerana kita rasa ini bukan sahaja soal kemenangan tapi soal penerimaan oleh para pengundi dan 'like ability' iaitu seorang calon yang disukai dan sesuai dengan citarasa pengundi kawasan-kawasan berkenaan", katanya.


(Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi/BERNAMA)

Sementara itu, beliau memberitahu Kerajaan Perpaduan masih mempunyai masa yang agak panjang bagi memuktamadkan rundingan pembahagian kerusi itu iaitu sehingga Julai atau awal Ogos untuk menghadapi kempen pilihan raya secara rasmi. 

Penelitian perlu dilakukan bagi mengelakkan sebarang pertembungan ataupun sebarang permasalahan apabila calon dipilih itu tidak dapat memberikan kemenangan dalam pilihan raya negeri (PRN) tersebut.

Beliau turut mengingatkan bahawa parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan agar tidak mengambil ringan cabaran untuk PRN di enam negeri, terutamanya di Selangor.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan proses pembahagian kerusi antara parti komponen Perikatan Nasional (PN) lebih baik berbanding parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan. 

Beliau berkata kepada media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Badan Perhubungan UMNO Pahang di Sungai Koyan dekat Kuala Lipis, Pahang. 

Turut hadir Naib Presiden UMNO yang juga Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail. 

Media Baharu