(Penerbit Program RTM Selangor, Fairuz Hiras)
KUALA LUMPUR, 20 Mei - Program Seni Warisan Citra Dwi Budaya yang diangkat ke layar TV merupakan inisiatif Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk menyemarakkan perkembangan industri seni dan budaya tanah air.
Rangkuman seni warisan dari negeri Selangor dan Perlis ini dilihat mampu mempopularkan kembali tarian dan muzik tradisional sesebuah negeri serta mengangkat seni warisan yang mungkin sudah dilupakan generasi masa kini.
Menurut Penerbit Program RTM Selangor, Fairuz Hiras, penganjuran bersama RTM Selangor dan RTM Perlis ini merupakan satu usaha dalam memartabatkan seni warisan kedua-dua buah negeri agar tidak ditelan zaman.
"Ini dapat membantu generasi muda untuk mengenali permainan dan juga tarian alat alat muzik tradisional tempatan, jadi saya berharap dengan kita mengetengahkan tarian dan juga muzik tradisonal ini akan dapat memperkayakan dan juga memperkuatkan lagi seni kebudayaan yang ada di negara kita agar tidak ditelan zaman," kata beliau ketika di temui pada rakaman program Seni Warisan Citra Dwi Budaya, di Angkasapuri Kota Media, di sini malam tadi.
(Program Seni Warisan Citra Dwi Budaya menyemarakkan perkembangan industri seni dan budaya
tanah air)
Antara tarian dan persembahan menggunakan alat muzik tradisional ialah Tarian Wau Kapal, Tarian Piring dan Cempuling dari Selangor manakala Tarian Canggung, Tarian Inang Tua dari negeri Perlis.
Rakaman program Seni Warisan Citra Dwi Budaya selama 1 jam 30 minit yang berlangsung malam tadi di Auditorium Perdana, Angkasapuri Kota Media bakal menemui penonton malam ini, pukul 9 malam di TV2.
Hadir sama pada program rakaman itu, Timbalan Pengarah Bahagian Program Radio, Fairuz Mohd Razi, Pengarah Jabatan Penyiaran Selangor, Noriza Salleh serta Pengarah Penyiaran Negeri Perlis, Azman Hashim.